KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer berbakat, Ryzal Aziz, kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air dengan single religi terbaharunya berjudul Ramadan, bersempena kedatangan bulan penuh rahmat yang dinanti-nantikan umat Islam.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi kelahiran Johor Bahru ini mengangkat tema keinsafan dan kerohanian, dengan lirik yang merayu pengampunan daripada Maha Pencipta. Ramadan bukan sekadar karya muzik, tetapi juga sebuah seruan untuk masyarakat menghayati keindahan bulan suci ini dengan penuh keikhlasan.

Menggunakan konsep balada perlahan, lagu ini dijiwai dengan melodi indah yang diiringi alunan cello dan strings. Keistimewaan Ramadan turut diserlahkan melalui kolaborasi dengan jurutera suara Amyr Abadawn dan Felix, yang bertindak sebagai jurutera pengaturan, adunan, serta penyempurnaan audio.
Menurut Ryzal, pembikinan lagu ini bukan sekadar menghasilkan sebuah karya seni, tetapi juga sebagai satu peringatan kepada umat Islam agar memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya.

“Saya berharap lagu ini dapat menyampaikan mesej kepada kita semua supaya menggunakan kesempatan bulan Ramadan ini untuk beribadah dengan lebih tekun serta memohon keampunan Allah SWT,” katanya.
“Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna buat kita meningkatkan amal soleh, menggugurkan dosa, dan menjadi peringatan agar sentiasa berusaha menjadi hamba yang terbaik,” tambahnya lagi.
Single Ramadan akan mula menemui peminat menerusi pelbagai platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, YouTube, Instagram, TikTok, Deezer, dan Prime Music. Manakala, muzik video rasmi lagu ini dijadualkan tayangannya pada 21 Februari 2025, serentak di semua platform media sosial Ryzal.

Mula berjinak dalam dunia seni sebagai penyanyi kelab malam sekitar tahun 2000, Ryzal kemudiannya melangkah ke industri muzik arus perdana pada 2020 bersama One Soul Band. Beberapa lagu popularnya sebelum ini termasuk Perpisahan, Pasrah di Aidilfitri, Aku Rela, Bunga, dan Curang di bawah naungan Universal Music Malaysia.
Menutup tirai tahun 2024 dengan siri jelajah di Jepun dan Singapura, Ryzal turut merancang untuk melancarkan dua lagi karya baharu pada tahun ini – sebuah lagu cover bertajuk Di Sebalik Rahsia Hati serta single berjudul Menggapai Bintang.
Dengan kemunculan Ramadan, Ryzal Aziz terus membuktikan bakatnya sebagai seorang pengkarya yang tidak hanya menghasilkan muzik, tetapi turut membawa mesej mendalam kepada pendengar.