March 28, 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Filem pendek “Raya Dipelukan Mak”, karya sulung Ryan Bakery, tampil dengan kisah penuh emosi dan pengajaran bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Mengangkat kisah dua beranak, Aman dan Mak Ani, yang hidup bersendirian tanpa kehadiran seorang bapa, filem ini mengetengahkan hubungan kekeluargaan yang menyentuh hati. Idea untuk menghasilkan filem ini telah lama tercetus dalam fikiran Ryan, terinspirasi oleh rakan-rakannya yang menghasilkan drama pendek bertemakan perayaan sebelum ini.

“Selama ini orang mengenali saya sebagai seorang pelawak. Kini saya mahu meneroka sisi lain dalam dunia seni dengan penghasilan ‘Raya Dipelukan Mak’,” kata Ryan.

Untuk memastikan jalan cerita yang menarik dan berkualiti, Ryan mendapatkan khidmat Marr Mohamad sebagai penulis skrip. Filem ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Khatijah Tan, Ellie Suriaty Omar, Fendi London, Uyaina Arshad, Adriana Adnan, Dafi dan To’ Puan Syamim Freida. Turut membuat penampilan istimewa adalah isteri Ryan, Eliya Ibrahim, serta beberapa pelakon lain termasuk Badron Munirah, Farihin, Wanchai, Adam Bakery, Black, Riev Wafa dan Rushdan Wafa.

Menurut Ryan, filem pendek ini mengangkat isu biasa yang sering melanda hubungan kekeluargaan, tetapi jarang disedari oleh masyarakat.

“Anak-anak mungkin berusaha menjaga hati orang tua mereka, tetapi tanpa sedar, tindakan mereka kadang-kala melukakan perasaan ibu bapa. Saya berharap mesej ini dapat meresap ke hati penonton dan memberi impak positif kepada semua,” katanya lagi.

Diterbitkan oleh Ryan dan Elyias Omar, “Raya Dipelukan Mak” mula ditayangkan semalam di saluran YouTube rasmi Ryan Bakery.

RAYA 2025 : RAYA DIPELUKAN MAK 

Leave a Reply