February 24, 2024

Kuala lumpur – Saban tahun pasti ada sahaja lagu raya baharu dihasilkan bagi memeriahkan lagi sambutan bulan Syawal. Malah, lagu raya baharu diterbitkan dalam pelbagai genre bagi menarik minat pencinta muzik selain memeriahkan suasana sambutan hari raya.

Tidak ketinggalan, pelawak, pelakon, pengacara dan penyanyi, Achey apabila muncul dengan lagu raya terbaharu ciptaan sepenuhnya beliau berjudul “Raya Rempit”. Menariknya, sebaik video muzik rasmi “Raya Rempit” dimuat naik ke YouTube beberapa hari lalu, ia terus trending dan kini berada di dalam kedudukan Top 15 trending di YouTube.

Achey

Achey, 37, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu “Raya Rempit”.

“Lagu ini saya buat tak lama sebenarnya. Semasa perjalanan pulang ke kampung sebelum Ramadan, saya dapat melodi lagu ini dan bila balik semula ke Kuala Lumpur, saya sudah dapat liriknya. Kemudian saya tulis dan hantar kepada pengarah muzik untuk proses susunannya.

“Menerusi lagu Raya Rempit ini, saya mahu menceritakan kebiasaan sambutan raya yang jarang ditampilkan di dalam sesebuah lagu. Semua orang yang nak raya mesti akan beli baju raya dan hias kereta dengan cantik. Sama juga dengan mereka yang balik ke kampung dengan menaiki motosikal. Bila nak balik kampung, mereka mesti akan cantikkan motor dan bersihkannya, jadi lagu ini adalah untuk mereka. Itu adalah kebiasaan bila nak beraya,” katanya.

Menurut Achey, lirik lagu “Raya Rempit” lari daripada kebiasaan lagu raya lain yang bertemakan balik kampung.

“Apabila saya bagi saja melodi ini kepada pasukan Seventeen Eleven Music, mereka terus setuju untuk rakamkannya. Lagu berserta video muzik dapat disiapkan dalam tempoh tiga ke empat hari sahaja.

“Muzik video kami juga ‘simple’ dan hanya menggunakan apa yang ada dalam kedai motosikal sahaja. Saya adalah rakan kongsi kepada bisnes menjual aksesori motosikal dan saya menggunakannya untuk ditampilkan di dalam muzik video lagu ini.

“Lagu Raya Rempit ini antara lain bertujuan untuk lari sikit daripada lagu-lagu yang menceritakan mengenai balik kampung, memasak, bermaaf-maafan dan sebagainya sebab itu memang kita tahu akan dilakukan pada hari raya. Tapi apa yang saya mahu sampaikan kepada orang adalah perkara lain dari lain. Saya juga adalah peminat motosikal, jadi apa salahnya saya hasilkan lagu seperti ini,” katanya.

Seperti kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini, Achey juga berharap single “Raya Rempit” ini akan diterima baik pendengar dan mampu kekal malar segar.

“Saya mengharapkan sambutan baik daripada pendengar terutama pengguna motosikal yang akan pulang ke kampung raya tahun ini. Walaupun ia menjadi kebiasaan mereka setiap kali menyambut hari raya, tapi ia masih belum dilagukan sehiggalah terkeluarnya lagu Raya Rempit.

“Saya berterima kasih kepada pasukan Seventeen Eleven Music kerana sudi menerima lagu raya seperti ini. Tahun ini kita buat kelainan sedikit dan mungkin ia nampak seronok dengan melodi yang ’catchy’,” katanya.

Lagu “Raya Rempit” terbitan Seventeen Eleven Music yang dikeluarkan pada 10hb. April ’23 kini boleh distrim di semua pelantar striming muzik dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Raya Rempit – (official music video)