KUALA LUMPUR – Hasil daripada cetusan idea Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, maka terhasillah program “Citra Reka Busana”, sebuah program pertunjukkan fesyen yang memberi penghormatan terhadap warisan fesyen Malaysia yang disampaikan dalam bentuk muzikal.
Program terbitan Unit Hiburan TV RTM ini menampilkan keunikan dan keindahan budaya dalam persembahan yang sarat dengan seni, sejarah mengenai fabrik dan estetika pada reka bentuk pakaian, corak fabrik dan busana.

Citra Reka Busana bakal membawa penonton menyelami keindahan fabrik, pakaian dan aksesori warisan Malaysia dari era pra-kemerdekaan hingga zaman moden. Bukan sekadar pertunjukan fesyen biasa, program ini turut menghidupkan sejarah dengan sentuhan seni dan hiburan yang memukau.
Penonton akan dibawa menyaksikan naratif yang menonjolkan kehalusan seni tekstil dan evolusi busana, diperkaya dengan persembahan tradisional yang mempesona, lantunan suara emas artis terkemuka serta deklamasi puisi menggugah rasa daripada barisan personaliti RTM.

Program ini menampilkan artis terkenal tanah air iaitu Liza Aziz, Dato’ Jamal Abdillah, Marsha Milan, Noraniza Idris, Suki Low, Siti Nordiana, Mimi Fly, Nadeera, Nikki Palikat, Umai, Haziq Rosebi, Fauziah Gambus, Asmidar, Rezza Shah, Alena Murang, dan Dewi Seriestha.
Barisan hos Citra Reka Busana pula terdiri daripada Andy Reza, Ivan Toh, Nen Tebabo, Syafiqah, Munawar Azmie, Dyya Nawai, Hafez Dolson, Syairul Islam, Raja Suefia, Irfan Nasution, DJ Sonic, DJ Sidi, DJ Anna, dan DJ Nurrulista. Kemunculan mereka menyajikan halwa telinga buat penonton dengan mendeklamasikan puisi dan gurindam, mempersembahkan karya dalam loghat tempatan seperti loghat Pantai Timur dan loghat Utara.


Sepanjang dua jam bersiaran, alunan muzik tradisional mengiringi peragawan ternama yang menggayakan busana pelbagai era—daripada keanggunan klasik zaman silam hingga rekaan kontemporari yang mencerminkan kemodenan bangsa.
Kelainan ditonjolkan apabila penonton bukan sekadar dapat menyaksikan pertunjukkan fesyen hasil rekaan pereka tempatan antaranya Salikin Sidek & Suhara Jewels, Melinda Looi, Dato’ Tom Abang Saufi, Raja Perak dan Baju Bodo dalam bentuk runway, malah ia turut menerapkan elemen persembahan Mak Yong, Zapin Troupe, Inang Cina, muzik Rebab dan sebagainya.

Citra Reka Busana ini turut mendapat kerjasama penglibatan daripada Giat Mara & Kolej Komuniti Chenderoh, Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau & UiTM dan Malaysia Fashion Creativity Award (MFCA).
Program ini bakal bersiaran pada 5 April depan, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2 dan juga boleh ditonton menerusi RTMKlik.