December 8, 2023

KUALA LUMPUR : Remp-it pernah mencetuskan fenomena tersendiri pada tahun 2006. Kini, setelah 16 tahun ia kembali dengan nafas dan aksi terbaru melalui Remp-it 2. Dunia permotoran sendiri telah melalui satu perubahan yang agak ketara sepanjang tempoh tersebut seiring berlakunya perubahan dalam dunia penerbitan filem dan selera penonton. Menyedari perkara itu, FKX Film tampil dengan filem sulungnya yang mengetengahkan aksi dan jalan cerita yang lebih matang dalam Remp-it 2. Filem yang menjalani penggambaran pada hujung 2019 ini terpaksa menunggu lebih lama untuk menemui penonton disebabkan pendamik Covid-19 yang melanda dunia.

Remp-it 2 merupakan sambungan dari Remp-it (2006) namun, dengan kecanggihan teknologi penggambaran sekarang, semua aksi perlumbaan berlaku di siang hari. Penonton dapat menyaksikan aksi perlumbaan tersebut dengan lebih jelas. Remp-it 2 juga mengetengahkan pelbagai jenis motosikal dari pelbagai kategori termasuk motosikal biasa seperti Y15, RS, RXZ, 125Z, motorcross, cub prix sehinggalah ke superbike. Elemen motosikal digerakkan oleh elemen-elemen persahabatan dan kekeluargaan membuatkan Remp-it 2 sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. 

Menurut penerbit, pengarah dan pelakon Remp-it 2, Farid Kamil, dia mengambil masa yang lama sehingga 16 tahun untuk muncul dengan sekuel ini disebabkan mahu mengumpul modal terlebih dahulu sebelum menerbitkan Remp-IT 2. Dia juga bukan sekadar bertindak sebagai pelakon, tetapi turut menjadi pengarah dan penerbit di bawah syarikatnya sendiri.

Farid Kamil bertindak sebagai penerbit, pengarah dan pelakon filem Remp-it 2

Berkenaan timbulnya idea untuk menghasilkan filem Remp-it 2 ini, Farid berkata, “Sejak dahulu lagi memang saya menanam cita-cita mahu menerbitkan filem Remp-it 2 di bawah syarikat saya sendiri iaitu FKX Film dan kini ia telah terlaksana. Saya rasa filem berkisar tentang permotoran ini masih lagi relevan dan mempunyai penonton dan pengikut yang tersendiri.”

Penggambaran telah dilakukan pada tahun 2019 selama 55 hari di sekitar Johor Bahru, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Apa yang menariknya, kami bertuah sebab dapat kebenaran untuk menjalankan penggambaran di Terowong Karak. Seperti sedia maklum, Terowong Lebuhraya Karak merupakan jalan yang sinonim dengan pengguna jalan raya dan penunggang motosikal. Kami pula mendapat peluang ‘berlumba’ di situ. Apa yang menarik lagi, penggunaan medium utama filem Rempit-it 2 adalah motosikal.” Katanya. 

FKX Film menujukan filem ini kepada lagenda-lagenda sukan permotoran Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Perjuangan mereka tanpa mengenal erti jemu dan sehingga sampai mempertaruhkan keselamatan dan nyawa mereka sendiri. Seperti pejuang tanahair yang lain, mereka juga perlu diraikan dan kisah hidup mereka juga perlu difilemkan. Remp-it 2 merupakan salah satu usaha dari Penerbit dalam jangka masa panjang boleh melahirkan pelumba-pelumba yang mampu mengharumkan lagi nama negara di dalam arena permotoran. 

“Ini kali pertama sebuah filem tempatan yang dapat memasukkan adegan-adegan seperti perlumbaan Asian Racing. Malah, penggambaran filem ini juga dapat dibuat semasa hari perlumbaan sebenar berlangsung seperti di Asian Racing (Litar Sepang) dan Cub Prix Malaysia (Terengganu). Selain itu, kami gunakan lebih 1,000 buah motorsikal untuk penggambaran termasuk pelakon utama dan pelakon tambahan,” ujarnya.

Babak antara Farid dan Cat Farish dalam filem Remp-it 2
Antara adegan menarik yang dipaparkan dalam filem Remp-it 2

Farid juga menyatakan bahawa filem ini bukan hanya untuk golongan mat rempit sahaja, malah ia sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga, kanak-kanak, remaja dan pengikut filem Rempit yang pertama. 

“Selepas filem pertama, ramai yang tertanya-tanya adakah Madi mati? Jadi di dalam Remp-it 2 ini ada jawapannya,” katanya yang memegang watak bernama Madi di dalam filem remp-it dan Remp-it 2.

Filem ini juga menjadi satu cabaran buat dirinya sebagai pengarah. Kekangan masa menjadi faktor utama buatnya walaupun dilakukan selama 55 hari.

“Cabaran kepada saya sebagai pengarah dan pelakon tetap ada kerana ia bukan sesuatu yang mudah seorang pelakon asal membuat skrip filem seterusnya 16 tahun menjadi penerbit. Tambahan pula semua sedia maklum masalah menimpa ke atas saya ketika peluang untuk mengarah itu datang. Selain itu, cabaran yang dihadapi adalah penggambaran untuk babak perlumbaan banyak dilakukan pada waktu siang berbanding filem pertama yang banyak sebelah malam.

“Pemilihan barisan pelakon dilakukan secara rambang. Ketika itu skripnya siap saya sendiri mencari semula perwatakan Madi pada 16 tahun yang lalu. Pelakon lain yang dipilih sudah tentu ia menjalani proses seperti casting. Sebagai sebuah filem permotoran, idealogi di sebalik pembikinan filem ini, saya perlukan barisan pelakon yang boleh menunggang motosikal.” Jelas Farid tentang cabaran dan pemilihan pelakon.

Penampilan Niezam Zaidi dalam filem Remp-it 2

Ditanya mengenai harapan untuk filem Remp-it 2 ini, dia berkata, “pastinya harapan saya agar lebih ramai penonton pergi menonton filem ini di pawagam kerana ia sangat dekat dengan golongan pencinta motosikal. Kepada peminat dunia permotoran, dalam filem ini kami ada paparkan semua jenis motosikal, daripada motosikal kapcai sehinggalah ke superbike serta offroad. Saya percaya filem ini juga mampu memberi kepuasan kepada semua penonton.”

Filem Remp-it 2 ini diterbit dan diarahkan sendiri oleh Farid Kamil selain bertindak sebagai pelakon utama disamping barisan pelakon seperti Cat Farish, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh, Shahkimin serta penampilan sulung Muhammad Kamil a.k.a Che Mad yang telah memberi mutu lakonan yang meyakinkan pada usia 7 tahun.

Kepada semua peminat dunia permotoran, nantikan Remp-it 2 di pawagam 24 Novomber 2022 ini.