KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 – Dalam semangat memperingati Hari Raya Aidiladha, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Unit Drama TV mempersembahkan sebuah telefilem istimewa bertajuk Rengkuh, yang menyentuh tema pengorbanan sebenar dalam institusi kekeluargaan.
Menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Aidil Aziz, Ezzaty Abdullah, Azizah Mahzan, Ruzaidi dan Azman Hassan, Rengkuh dijangka menyentuh emosi penonton menerusi paparan nilai kasih sayang, ketabahan serta ujian yang melanda sebuah keluarga.

Menurut pengarahnya, Danny Alamsyah, pemilihan tajuk Rengkuh membawa makna simbolik – satu metafora kepada jalinan kasih dalam keluarga yang merangkumi pelbagai ragam dan cabaran.
“Kita tahu dalam sesebuah keluarga itu, terdapat pelbagai karakter dan dugaan. Jadi, rengkuh saya gunakan sebagai lambang kepada ikatan ukhuwah yang menjadi tunjang cerita ini,” jelasnya.
Telefilem ini mengisahkan Nadhiyar, seorang abang yang menjadi pelindung kepada adiknya, Nadirah, sejak kecil. Namun, sebuah tragedi kemalangan yang menimpa Nadhiyar mengubah segalanya, sekali gus menguji kekuatan ikatan kasih dalam keluarga mereka.

Meskipun mengetengahkan tema berat, Danny menegaskan bahawa naratif Rengkuh disusun secara ringan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Pendekatan visual yang lembut serta sinematografi yang menggambarkan suasana desa turut memberi kedalaman kepada emosi dan watak yang dibawa.
Rengkuh bakal disiarkan pada 14 Jun 2025, jam 9.00 malam menerusi slot Panggung RTM di TV1 dan RTMKlik.
Telefilem ini bukan sahaja mengangkat nilai pengorbanan Aidiladha, malah turut menyentuh naluri kekeluargaan yang sejati — menjadikannya sajian istimewa untuk direnungi bersama.