KUALA LUMPUR – kumpulan muzik berasal dari berasal dari Bogor, Indonesia yang cukup popular dengan lagu-lagu cinta seperti Sandiwara Cinta, Sayang Sampai Mati, Selimut Tetangga dan banyak lagi telah mengadakan konsert istimewa di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Ogos lalu sekaligus meraikan sambutan ulang tahun ke-19 mereka.
Konsert anjuran Aytie Management dan Boomset Planning menyajikan sebanyak 20 buah lagu kepada peminat dengan pertembungan karya-karya baharu dan lama. Proses pemilihan lagu agak mencabar kerana kumpulan ini memikirkan lagu yang paling disukai khalayak ramai serta karya terbaik daripada seleksi album mereka.


Tepat jam 8.45 malam, band yang telah menghasilkan sebanyak lapan album ini muncul di atas pentas dengan disambut teriakan hampir 1,700 penonton yang hadir bagi menyaksikan konsert yang dianggap sebagai ‘hutang’ yang lama tertunggak.
Sebelum ini peminat Repvblik di Malaysia berasa hampa apabila konsertnya dibatalkan dan kali terakhir adalah konsert bersama Radja yang sepatutnya berlangsung pada tahun lepas juga dibatalkan. Namun kegalauan peminat diubati mereka dengan seleksi lagu-lagu dari kumpulan yang memperjuangkan genre Pop Rock dan Rock Alternatif ini.

“Malam ini ramai yang datang bersama pacar…aku ngak percaya yang bersendirian, Repvblik akan nyanyikan lagu-lagu cinta untuk kalian dan yang penting hutangnya sudah dilunasi,” ucap Ruri selaku vokalis Repvblik.
Aksi Ruri yang lincah di atas pentas mencuri perhatian penonton apabila beliau mendendang lagu-lagu seperti Tiada Guna Lagi, Tlah Ku Berikan, Sakit Aku Sakit, Hanya Ingin Kau Tahu dan Aku Tetap Cinta. Dengan bertubuh ‘sado’ Ruri kelihatan tidak merasa lelah dan sentiasa konsisten dalam persembahannya.
Persembahan diteruskan dengan ketukan dram yang padu membuatkan penonton menari dan bergoyang mengikut irama yang dipalu.

Peminat seperti terpinga-pinga apabila Ruri memberitahu judul lagu Buih Permaidani yang akan dipersembahkan oleh mereka kerana rata-rata penonton agak janggal dengan judul lagu tersebut. Namun apabila irama lagu tersebut dimainkan hampir keseluruhan penonton menyanyikan bersama Ruri yang mana judul asal lagu tersebut adalah Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian kumpulan Exists.
Tanpa banyak celoteh, Ruri menghiburkan penonton menerusi lagu hitnya berjudul Cinta Sampai Mati, dan Selimut Tetangga. Sandiwara Cinta antara lagu yang telah melonjakkan nama Repvblik sehingga pernah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 113 juta jumlah tontonan di platform Youtube.

Kumpulan yang dianggotai 4 orang ahli iaitu Ruri (Vokalis), Lavy (Bass), Tyar (Keybord dan Backing Vokal), dan Ei (Gitar utama) membuai perasaan penonton dengan lagu-lagu cinta sepanjang konsert berdurasi hampir 2 jam setengah ini. Pelbagai seleksi lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat dipersembahkan seperti Aku Yang Terluka, Sandiwara Lagi, Andaikan, Selingkuh dan banyak lagi.
Apa yang pasti, persembahan Repvblik yang menyampaikan lebih 20 buah lagu itu membuatkan hampir 1,700 penonton terpukau dan berpuas hati serta pulang dengan senyuman dan disertai mimpi yang indah!

