Reshma Prakash menang 2 gelaran utama di Mrs India Worldwide 2024

KUALA LUMPUR – Bukan selalunya kita melihat perwakilan Malaysia pulang ke tanah air dengan gelaran utama selepas bersaing dalam pertandingan ratu antarabangsa yang berprestij, namun Dr Reshma Prakash, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah klinik perubatan pembedahan di Johor, membanggakan negara kita dengan memenangi bukan sahaja satu tetapi dua gelaran utama di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini. 

Reshma, seorang ahli psikologi berusia 33 tahun dan ibu kepada tiga orang anak dari Segamat, Johor telah dinobatkan sebagai Mrs India Worldwide Water 2024 dan juga Mrs India Worldwide South Asia 2024, di pertandingan akhir Haut Monde Mrs India Worldwide 2024 yang telah diadakan di Hotel Ajman yang berprestij di Dubai pada 6hb Mei 2024. Reshma juga memenangi gelaran subsidiari Mrs Elegant.

Haut Monde Mrs India Worldwide ialah salah satu pertandingan ratu cantik terkemuka dari India yang menyediakan pentas antarabangsa untuk wanita di seluruh dunia untuk mengambil bahagian dan memperagakan kecantikan mereka tanpa mengira usia mereka. Mrs India Worldswide telah mengendalikan acara itu selama lebih sedekad dan meraikan wanita diaspora India dari seluruh dunia. Pertandingan itu mempamerkan bakat, keanggunan, dan pemerkasaan wanita yang beretnik India.

Pertandingan itu menerima lebih 20,000 pencalonan tahun ini, dan selepas proses pemilihan antarabangsa yang melelahkan itu, hanya 104 calon dipilih untuk bertanding di peringkat akhir dunia di Dubai tahun ini. Reshma adalah satu-satunya perwakilan dari Malaysia yang layak mewakili negara kita selepas mengharungi proses pemilihan global yang sukar dan mencabar.

Pemenang-pemenang dari pertandingan itu telah dipilih oleh panel juri yang dihormati, yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mrs India Worldwide Bharat K Bhramar. Juri-jurinya termasuk pereka rambut selebriti Sylvie Rodgers, pelakon Bollywood Tisca Chopra, pemenang Haut Monde Mrs India Worldwide 2021 Amisha Sethi, pemenang Zon Antarabangsa Haut Monde Mrs India Worldwide 2022 Reshma Vipin Nambiar, pemenang Haut Monde Mrs India Worldwide 2023 Aparajita Sinha, pemenang Haut Monde Mrs India Worldwide 2023 Fire Rakhi Saha, pemenang Haut Monde Mrs India Worldwide Earth 2023 Manjari Priya Gupta, jurugambar fesyen terkenal Rony Kaula, dan pemenang Haut Monde Mrs India Worldwide 2022 Ruchika Malhotra. Persembahan itu berlangsung di bawah koreografi mahir dan arahan Alison A Woodham yang berbakat, dilengkapi dengan kepakaran penggayaan fesyen Anjali Sahani.

Perlawanan akhir pertandingan ratu cantik itu diserikan dengan kehadiran personaliti terhormat dari industri hiburan dan profesional yang cemerlang.

Reshma dilahirkan di Segamat, Johor. Bapanya seorang jurutera tentera udara dan ibunya seorang suri rumahtangga. Pada awalnya Reshma dibesarkan di Jitra, Kedah kerana bapanya berpangkalan di sana. Reshma berpindah ke Segamat, Johor selepas ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan ketika dia baru berusia 9 bulan. Ibunya yang balu mula bekerja di kilang plastik pada usia 28 tahun untuk menjaga Reshma dan adiknya Prathisha. Bagi memperbaiki keadaan mereka, ibu Reshma memelajari kejururawatan dan menjadi jururawat di pusat hemodialisis tempatan di Segamat.

“Ibu saya Prema Narayanan memang luar biasa dan akan sentiasa menjadi teladan saya. Dia adalah ibu saya, dan sekali gus ayah saya,” luah Reshma semasa sesi temu bual media sejurus selepas pulang dari Dubai.

Perjalanan Reshma dalam pertandingan itu bermula apabila suaminya mendaftarkannya tahun lalu. Beliau adalah salah seorang daripada dua perwakilan yang dipilih dari Malaysia untuk menyertai pusingan pra-pemilihan pada bulan Mac 2023.

Segala usahanya berbaloi apabila dia diumumkan sebagai salah seorang finalis dan satu-satunya rakyat Malaysia yang berjaya melangkah ke peringkat akhir dunia.

“Suami saya adalah tulang belakang saya sepanjang proses ini,” kata Reshma.

Dia terbang ke Dubai pada 27hb April 2024, tiga hari sebelum permulaan minggu pertandingannya untuk membiasakan diri dengan persekitaran, meluangkan sedikit masa bersama keluarganya dan memulakan langkah awal pertandingan. Dia ditemani oleh suaminya, tiga anaknya dan ibunya. Mereka adalah pembimbing soraknya sepanjang pertandingan.

Semasa pertandingan berlangsung, perwakilan telah dipotong daripada 104 kepada 60. Semasa pemotongan ini Reshma menerima gelaran subsidiari Mrs Elegant.

Dia kemudiannya dinobatkan sebagai Mrs South Asia dan berjaya masuk ke dalam Top 22 walaupun merupakan satu-satunya calon dari Malaysia. Malah Singapura mempunyai 5 perwakilan manakala Hong Kong mempunyai 2.

Tidak mengejutkan, Reshma telah dipilih dan dinobatkan sebagai Mrs India Worldwide Water 2024. Gelaran utama Mrs India Worldwide Earth 2024 dimenangi oleh Mousumi Sinha Dutta, dari Amsterdam.

“Saya sangat bangga dan gembira kerana bekerja keras dan memenangi dua gelaran berprestij ini dan satu gelaran subsidiari untuk negara saya. Mewakili Malaysia di pentas antarabangsa adalah penghormatan besar,” kongsi Reshma yang teruja.

“Cabaran terbesar saya sepanjang pertandingan ialah mempelajari cara melibatkan diri di media sosial, mempelajari bahasa Hindi untuk memahami dan berkomunikasi dengan lebih baik dengan penganjur dan perwakilan lain, menguruskan masa saya dan mengatasi kekurangan tidur,” tambahnya.

Reshma benar-benar rasa diperkasa daripada keseluruhan pengalamannya di Dubai. Dia berhasrat untuk memberi tumpuan kepada keluarganya terlebih dahulu. Dengan dua gelaran utama dalam tangannya, Reshma juga ingin untuk membuka rumah amal untuk gadis yang kurang bernasib baik. Beliau juga berhasrat untuk membantu wanita yang menghadapi kemurungan dan mereka yang berhasrat membunuh diri. Dia inginmembawa mereka ke kehidupan yang lebih baik dan lebih positif.