May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Suasana Syawal masih lagi terasa dan untuk meneruskan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini, platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI (disebut ai-chi-yi) mempersembahkan sebuah drama bersiri terbaharu keluarannya yang berjudul ‘RESTU’ yang bakal ditayangkan bermula 26 April 2024 ini pada jam 9:00 malam. Drama bersiri 10 episod ini dibintangi oleh oleh barisan pelakon handalan seperti Remy Ishak, Wana Ali, Siti Elizad, Elizabeth Tan, Puteri Rafasya dan ramai lagi, hasil terbitan bersama syarikat produksi, Infinitus Production dan diarahkan oleh pengarah terkenal tanah air, Heykal Hanafiah.

Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, En. Jony Deng berkata, “Selepas kejayaan Rampas Cintaku 2 yang dilakonkan oleh Fasha Sandha dan Erra Fazira, kami bakal melancarkan drama bersiri terbaharu berjudul RESTU untuk memenuhi permintaan penonton yang semakin meningkat. Ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan semua platform penstriman di Malaysia menghasilkan sejumlah kandungan asli yang berkualiti tinggi serta membawa pesanan dan teladan yang baik”.

“Selain itu, kami sedang bekerja keras mengendalikan beberapa projek Original iQIYI yang kini sedang dalam pelbagai peringkat seperti pembangunan skrip, penggambaran dan pasca-produksi dan ini bakal memeriahkan lagi industri hiburan di Malaysia,” tambahnya lagi.

Setelah kejayaan luar biasa drama bersiri ‘Rampas Cintaku 1 & 2’ dengan jumlah melebihi 100 juta tontonan digital di seluruh dunia, iQIYI kini terus menyajikan drama bersiri RESTU yang merupakan diantara 12 drama yang bakal mewarnai tahun 2024.

Drama RESTU menceritakan tentang watak utamanya iaitu Razak (lakonan Remy Ishak), seorang ayah tunggal yang berdepan cabaran dan dilema hidup dalam membesarkan anak perempuannya, Amy (lakonan Puteri Rafasya) setelah kematian isterinya, Julia. Hal ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk mencari pengganti hidup tetapi, anaknya meletakkan tiga syarat yang perlu dipenuhi. Siapakah calon bakal isteri Razak yang mendapat ‘restu’ dari Amy? Apakah pula syarat-syarat yang diletakkan oleh puteri hati Razak? Semuanya bakal terungkai dalam RESTU.

Projek drama Original iQIYI ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. “Sepanjang dua tahun ini, kami melakukan pelbagai perbincangan dari aspek jalan cerita, watak, genre dan strategi pemasaran yang terbaik bagi drama ini agar ia menepati citarasa masyarakat tempatan.”

“Kami juga sangat teliti dalam pemilihan para pelakon kerana ia melibatkan pelbagai pihak. Kami tidak hanya fokus pada aspek populariti sahaja, namun lebih kepada bakat versatile yang dimiliki oleh setiap pelakon demi mencapai objektif iQIYI dalam menghasilkan produk-produk berkualiti buat penonton semua,” tambah En. Jony lagi.

Tayangan perdana episod pertama drama RESTU adalah pada 26 April 2024, bersamaan minggu kedua Hari Raya dimana ianya boleh ditonton secara percuma di aplikasi iQIYI atau laman web www.iQ.com/local. Untuk episod baru seterusnya pula, penonton boleh membuat langganan akses VIP dan terus menonton apabila ianya tersedia, namun episod baru tersebut boleh ditonton secara percuma 48 jam kemudian.

iQIYI meletakkan harapan agar drama ini dapat diterima ramai sekaligus mendapat ‘Restu’ dari penonton. “Semoga drama bersiri ini mempamerkan kemahiran kreatif tenaga produksi dan juga bakat anak seni tempatan ke peringkat dunia.”

“Kami mensasarkan RESTU menjadi jambatan penghubung antara penonton di serata dunia dalam merasai sendiri keunikan budaya dan kepelbagaian naratif yang terdapat di Malaysia, serta memberi nikmat hiburan buat penonton disamping mencipta lebih peluang baharu dalam mempelbagaikan lagi kandungan digital tempatan,” tambahnya.

Muat turun aplikasi iQIYI di Apple App Store atau Google Play Store sekarang, taip RESTU di ruang carian, kemudian terus klik ‘Pesan’ untuk mendapatkan peringatan awal atau langgan Super Streamer Pass baharu oleh Hotlink dengan hanya RM9.90 sebulan. Nikmati penstriman berdefinisi tinggi tanpa gangguan dengan internet 5G tanpa had. Boleh dilanggan oleh pelanggan Prabayar dan Pascabayar Hotlink dengan pas internet bulanan aktif.

Jangan lupa temujanji anda bersama drama RESTU bermula 26 April 2024, pada jam 9:00 malam (setiap Jumaat & Sabtu) yang menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan.

Mengenai iQIYI International

iQiyi International yang berpangkalan di Singapura menyediakan perkhidmatan penstriman video atas permintaan dengan menawarkan pilihan hiburan dari Asia kepada para penonton global. Menawarkan perkhidmatan yang disokong oleh iklan dan juga langganan VIP, iQiyi International menyajikan drama-drama bersiri premium, tayangan filem, rancangan variasi dan anime; dalam bahasa tempatan dan sari kata; dikuasakan oleh teknologi terkini. iQiyi International turut menawarkan teknologi ini kepada perkhidmatan hiburan yang lain melalui perkongsian SaaS. iQiyi International boleh ditonton melalui sebarang peranti menerusi laman web iQ.com dan juga aplikasi. iQiyi International dimiliki oleh iQiyi, Inc. (Nasdaq: IQ).