Rewang Eh Raya 2025: Platform Perpaduan Menerusi Seni dan Budaya

SUBANG JAYA, 28 April 2025 – Acara Rewang Eh Raya 2025 anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik lebih 10,000 pengunjung ke pusat beli-belah Summit USJ, Sabtu lalu.

Bertemakan “Rumah Terbuka”, program ini bertujuan menghidupkan kembali tradisi rewang dalam suasana Hari Raya serta memperkenalkan kekayaan budaya Bugis Selangor kepada generasi muda melalui pendekatan interaktif dan mesra keluarga.

Seawal jam 9 pagi, suasana meriah dengan pertandingan mewarna “Eh, Warna-Warni Raya!” yang disertai kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun. Bengkel Santai Tarian Tradisional Zapin dan Ronggeng Selangor turut mendapat sambutan hangat, dengan lebih 300 peserta dari pelbagai peringkat umur.

Majlis perasmian disempurnakan dengan adat pemotongan pulut kuning dan sorakan konfeti, diserikan lagi dengan kehadiran Penaung Program, YM Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj bersama tetamu kehormat lain.

Dalam ucapannya, Hishammuddin Zaizi menekankan pentingnya memperkenalkan budaya tradisional secara konsisten, bukan hanya pada musim perayaan, dan menyeru agar usaha memartabatkan warisan diteruskan sepanjang masa.

Menariknya, pengunjung turut disajikan dengan klip video mengenai gastronomi warisan Bugis sebelum majlis perasmian, memperkayakan lagi pengalaman budaya sepanjang program.

Persembahan daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA) seperti Tarian Serampang Bugis, Tarian Jawa “Piye Kepriye” dan Tarian Ronggeng Selangor berjaya memukau penonton. Persembahan ini merupakan hasil bengkel tarian yang diadakan pada sesi pagi.

Menurut Noraniza Idris, Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia, Rewang Eh Raya 2025 menjadi platform penting dalam menyemai semangat komuniti menerusi seni budaya, bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hiburan, tetapi membentuk sahsiah dan memperkasa identiti budaya anak-anak kita,” katanya.

Noraniza Idris

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada para penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah, Che Ani Premium, Promedia Broadcast serta Summit USJ atas sokongan mereka.

Lebih 6,000 peserta mendaftar awal secara dalam talian untuk menyertai pelbagai aktiviti, membuktikan bahawa seni tradisional kekal mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Salah satu acara kemuncak ialah Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya, yang menyaksikan peserta dari lima negeri berentap untuk merebut hadiah utama bernilai RM3,000 bagi persembahan koreografi terbaik.