KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Menyanyikan lagu yang sarat dengan emosi bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila ia mencerminkan sebuah kisah kehilangan yang mendalam. Begitulah cabaran yang dihadapi oleh penyanyi muda berbakat, Rika Riana, dalam merakamkan single terbaharunya berjudul Harus Begini Jadinya.
Penyanyi berusia 25 tahun yang berasal dari Keningau, Sabah ini mengakui, perjalanan merakamkan lagu ciptaan penuh komposer tersohor Ajai bukan sekadar proses vokal biasa, sebaliknya menuntut penghayatan rasa yang tulus dan mendalam.
“Lagu ini sangat dekat dengan hati saya. Ia menggambarkan sebuah perasaan reda terhadap kehilangan. Kita mungkin cuba mempertahankan sesuatu, tapi jika ia bukan milik kita, maka ia harus dilepaskan,” ujar Rika.
Mengulas lanjut, bekas peserta Mentor Millenia 2019 ini menyatakan bahawa kerjasamanya bersama Ajai merupakan impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
“Sejak kecil saya membesar dengan lagu-lagu ciptaan Abang Ajai. Beliau sangat profesional dan teliti. Sepanjang sesi rakaman, saya banyak belajar tentang teknik penghayatan dan seni penyampaian. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, proses penggambaran video muzik (MV) turut menyaksikan cabaran tersendiri apabila penggambaran terpaksa dipindahkan ke lokasi tertutup akibat cuaca yang tidak menentu.
“Pada awalnya, MV ini dirancang untuk dilakukan di lokasi terbuka, namun disebabkan hujan, kami memilih untuk merakam di bilik dan ruang tamu. Walaupun sederhana, setiap babak membawa visual yang senyap namun bermakna – menggambarkan kekosongan dan proses menerima kehilangan,” jelas Rika atau nama sebenarnya Erika Rianty Anthony.
Single Harus Begini Jadinya diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music. Lagu ini telah pun dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 18 April yang lalu, manakala video muziknya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.
Menutup bicara, Rika berharap tahun 2025 bakal membawa sinar baru dalam kerjayanya dan menjadikan lagu ini sebagai titik tolak kepada lebih banyak karya bermakna yang bakal dikongsikan bersama peminat.