KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengimbau kembali tahun 2024 sebagai tahun penuh kejayaan bagi industri muzik tempatan. Di sebalik cabaran, termasuk ledakan muzik berasaskan kecerdasan buatan (AI), RIM terus memperkukuh ekosistem industri dengan pelbagai inisiatif, pemantapan hak cipta, serta kejayaan artis tempatan di persada antarabangsa.
Pendapatan Industri Muzik Pecah Rekod
Tahun 2024 menyaksikan peningkatan luar biasa dalam pendapatan industri muzik tempatan, mencatat pertumbuhan 11.5% kepada RM339 juta berbanding RM304 juta pada tahun sebelumnya. Ini menjadikan 2024 sebagai tahun dengan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan, mengatasi rekod sebelumnya RM315 juta pada tahun 1996. Lonjakan ini didorong oleh pertumbuhan 14% dalam hasil digital serta peningkatan 7.6% dalam kutipan royalti oleh tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) utama negara.
Inisiatif Memperkasakan Industri
Sebagai peneraju pembangunan industri muzik, RIM melancarkan program Carta RIM yang memaparkan lagu-lagu paling tinggi distrim dalam tiga bahasa utama melalui siaran radio mingguan di ERA, HITZ dan MY, yang mencapai jutaan pendengar setiap minggu.
Selain itu, RIM berjaya mendapatkan kerjasama stesen penyiar rasmi untuk Anugerah Industri Muzik edisi ke-24 (AIM24), anugerah muzik paling berprestij negara, yang bakal berlangsung pada tahun ini.
Lagu dan Artis Paling Popular 2024
• Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim: Masing Masing – Ernie Zakri & Ade Govinda
• Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Die With A Smile – Lady Gaga & Bruno Mars
• Lagu Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: 在加納共和國離婚 – DIOR & Firdhaus
• Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim: Insomniacks
• Artis Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Taylor Swift
• Artis Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: 菲道尔 (Firdhaus)
Artis Malaysia Cemerlang di Pentas Antarabangsa
Bakat tempatan terus mencipta nama di peringkat global:
• Ernie Zakri – Memenangi Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV Indonesia.
• Hael Husaini – Meraih Lagu Tema Terbaik di Asia Academy Creative Awards 2024.
• Shila Amzah – Finalis rancangan Singing with Legends di China.
• Dolla – Mewakili Malaysia dalam program realiti Show It All di China.
• Firdhaus & DIOR – Lagu Divorce in Ghana melepasi 17 juta aliran di Spotify.
• Azora Chin (You Zhangjing) – Juara Call Me by Fire oleh Mango TV, menjadikannya pemenang termuda dalam sejarah program itu.
• Jeryl Lee – Naib juara pertandingan realiti The Next Singer di China.
• Chandhine Kaur & Arulini Ashwiinaa Arumugam – Finalis dalam dua rancangan realiti di Zee TV, India.
• Zubir Khan – Lagu Yennode Macha menjadi viral dengan lebih 17 juta tontonan di YouTube.
Kerjasama dengan Kerajaan dalam Perlindungan Hak Cipta
RIM terus berusaha melindungi hak pemilik hak cipta dengan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan:
• Lanjutan tempoh hak cipta – RIM mencadangkan pindaan Akta Hak Cipta untuk melanjutkan tempoh perlindungan daripada 50 tahun kepada 70 tahun, sejajar dengan piawaian antarabangsa.
• Pengawalseliaan muzik AI – RIM mengusulkan undang-undang baharu agar pemilik hak cipta diberikan kebenaran sebelum karya mereka digunakan untuk melatih model AI.
• Tindakan anti-cetak rompak – RIM dengan sokongan KPDN mengambil langkah tegas menyingkirkan penjual haram di platform e-dagang dan menjalankan serbuan ke atas premis yang menggunakan muzik tanpa lesen.
Bantuan kepada Penggiat Industri Muzik
RIM turut menyalurkan bantuan kepada penggiat industri yang memerlukan menerusi program amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM). Dilancarkan oleh Menteri KPDN pada April 2024, program ini telah membantu 48 penggiat muzik, termasuk penyanyi, pemuzik, pencipta lagu dan wartawan hiburan.
RIM Yakin Masa Depan Industri Muzik Lebih Gemilang
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, menyatakan optimisme terhadap masa depan industri muzik tempatan.

“Pelbagai inisiatif yang dijalankan RIM telah membuahkan hasil, dan kami komited untuk terus menyokong industri muzik melalui pelaburan, perlindungan hak cipta, penyelarasan dasar dengan kerajaan, serta bantuan kepada penggiat muzik. Kami menggesa semua pihak berkepentingan untuk terus bersama RIM dalam memperkasakan industri muzik negara.”
Dengan rekod kejayaan 2024 yang luar biasa, industri muzik Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk terus berkembang dan bersaing di peringkat global.