Rizman Ruzaini lancar kempen “Ramadan to Raya Shopping Delight”

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Jenama fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini, melancarkan kempen jualan khas sempena Ramadan dan Aidilfitri menerusi “Ramadan to Raya Shopping Delight”. Kempen ini memperluaskan kehadiran jenama itu dengan beberapa lokasi jualan utama di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, membolehkan pelanggan mendapatkan koleksi eksklusif mereka dengan lebih mudah.

Pelanggan boleh mengunjungi butik utama Maison Rizman Ruzaini di Shangri-La Kuala Lumpur, yang beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Selain itu, gedung RR Store di IOI City Mall Putrajaya turut menyediakan koleksi istimewa dalam suasana beli-belah yang selesa. Bagi memenuhi permintaan tinggi musim perayaan, jenama ini juga membuka Pop Up khas di West Court, IOI City Mall Putrajaya dari 7 hingga 30 Mac, serta menyertai Absolut Bazaar di MITEC Kuala Lumpur dari 21 Mac (bermula jam 12 tengah hari) hingga 24 Mac (berakhir jam 6 pagi).

Majlis pelancaran kempen ini turut dimeriahkan dengan sesi ‘meet and greet’ bersama pengasas jenama, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, serta selebriti terkenal, Mira Filzah. Turut menghiburkan tetamu adalah penyanyi Bunga dan Jaclyn Victor.

Rizman Ruzaini: Ikon Fesyen Tanah Air

Diasaskan oleh duo pereka berbakat, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, jenama Rizman Ruzaini telah berkembang pesat dalam industri fesyen sejak ditubuhkan pada tahun 2005. Dikenali dengan rekaan eksklusif dan penuh elegan, jenama ini sering menjadi pilihan selebriti, kerabat diraja, serta individu berpengaruh dalam dan luar negara.

Dengan identiti fesyen yang menggabungkan elemen moden dan tradisional, Rizman Ruzaini terus menghasilkan koleksi yang memenuhi cita rasa pelanggan yang mengutamakan gaya mewah dan berkualiti tinggi. Selain koleksi couture yang sering menghiasi acara berprestij, jenama ini juga memperkenalkan RR by Rizman Ruzaini, satu rangkaian fesyen yang lebih bersifat kasual dan mampu milik, sesuai untuk peminat fesyen dari pelbagai lapisan masyarakat.

Koleksi “Ramadan to Raya Shopping Delight” kali ini menampilkan rekaan eksklusif yang mengekalkan ciri glamor, dengan penggunaan fabrik mewah serta potongan yang menawan. Dengan pelbagai pilihan busana elegan, Rizman Ruzaini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama fesyen pilihan utama untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.