KUALA LUMPUR – Siapa sangka kumpulan rock yang telah melewati lebih 40 tahun dalam industri muzik tanah air kini mampu menarik nafas lega apabila kumpulan yang hampir terkubur suatu masa dahulu telah bangkit kembali meneruskan legasi jenama ‘keramat’ ini.
Penghargaan diberikan kepada dua beradik Noordin dan Hamzah Mohd Taib atau Kid yang berusaha keras memastikan agar nama kumpulan yang pernah melalui jerih kepayahan ini diteruskan demi peminat mereka.
Semenjak ditubuhkan pada Mei 1981, kugiran ini telah menghasilkan lebih 12 album studio yang telah terjual beratus ribu unit, berpuluh-puluh lagu hits yang hangat diputarkan di corong-corong radio, ratusan lagi konsert yang sering terjual habis tiketnya sepanjang sejarah mencecah berdekad dalam industri muzik Malaysia menjadikan mereka antara kumpulan rock yang terunggul di Malaysia sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an serta masih lagi relevan hingga ke hari ini.
Setelah mengecapi kejayaan pada Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang dihadiri lebih 3,000 peminat tahun lepas, kini Search akan kembali bertemu peminat-peminat di Pantai Timur khususnya Kuantan setelah lebih dari 10 tahun tidak membuat persembahan di sana.
Konsert Search ‘Rock ‘n’ Roll Pie’ yang julung kali diadakan bakal berlangsung di Stadium Sukpa Kuantan pada 21 Oktober 2023 jam 9 malam.
Menurut Noordin atau mesra disapa Din, konsert ini adalah sebuah penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong Search daripada mula mereka bertapak dalam industri muzik sehingga ke hari ini.
“Konsert Search ‘Rock ‘n’ Roll Pie’ ini adalah hadiah istimewa buat peminat Search di pantai timur yang sentiasa menyokong Search sepanjang 42 tahun dalam industri muzik tanah air,” katanya.
Bagi pemain bass kumpulan Search, Amran Marsiman atau Yan, beliau menganggap Kuantan adalah bandar blues dan rock n roll kerana ramai peminat yang meminati muzik rock berdasarkan pengalamannya.
“Kuantan ni blues sebab tu kita panggil ‘Kuantanamo’ macam di sana ada blues dan rock n roll, ramai lagi geng-geng seluar koyak yang masih lagi menggayakan fesyen serupa ini.
“Saya harap mereka ini dapat memberi sokongan dengan hadir ke konsert Search Rock ‘n’ Roll Pie ini, saya nak kita enjoy dengan muzik yang kita bawa nanti,” katanya.
Selain Din dan juga Yan, Search dianggotai Kid, Minn dan Denden baru sahaja selesai mengadakan konsert Double Trouble 2 bersama Barbarik pada 5 Ogos lalu telah mengambil cakna apabila ada peminat yang tidak dapat menyaksikan konsert mereka disebabkan faktor jarak kediaman yang terlalu jauh.
“Mereka nak saksikan konsert Search di Kuala Lumpur tapi jauh bagi mereka untuk datang ke sini, jadi kali ini kita pula yang datang ke tempat mereka.
“Bila kita adakan konsert di sana nanti ia memudahkan peminat dari Terengganu, Kelantan untuk datang ke Kuantan,” katanya.
Konsert Search ‘Rock ‘n’ Roll Pie’ yang dianjurkan oleh Imaginex bakal berlangsung selama 2 jam. Semestinya mereka akan mempersembahkan lagu-lagu hits selain lagu-lagu yang terdapat di dalam album Rock N Roll Pie. Sudah pastinya lagu-lagu Search yang sudah terpahat di hati peminat akan bergema di ranah Kuantan sekaligus mengembalikan nostalgia.
“Itu tujuan asal sebenarnya, kita nak kembalikan nostalgia sewaktu kita adakan konsert Rock N Roll Pie di Stadium Negara dahulu, kita nak bawa vibe tu ke Kuantan, “ ujar Din ketika mengadakan sidang media di Guitar Legend, Ampang.
Penghargaan buat penaja-penaja yang menjayakan konsert Search Rock ‘n’ Roll Pie ini antaranya Space Limitless selaku rakan strategik, Gitar Legend dan JS Music. Grand Darul Makmur Hotel bertindak sebagai hotel rasmi dan THR Gegar Selaku radio rasmi.
Tiket-tiket konsert telah mula dijual sejak Julai lalu. Tiket-tiket berharga RM95 (duduk) dan RM130 (berdiri) boleh didapati secara online di www.ticket2u.com.
Search berharap peminat dan penggemar muzik Search yang berada di Pantai Timur khususnya Kuantan akan hadir bagi menikmati muzik Search yang sinonim bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu Search.
Foto oleh: PaPa Din