December 6, 2024

KUALA LUMPUR : Konsert hebat yang dinamakan ‘Konsert Kolaboraci – Three To Rock’ anjuran Aci Gold itu menggabungkan rockers hebat dari Indonesia, Malaysia dan Singapura, bakal berkongsi pentas pada 25 November ini bermula jam 7 malam di SMESCO Convention Hall, Jakarta.

Indonesia sebagai tuan rumah menampilkan band rock popular dan berpengalaman iaitu BIP yang dianggotai Pay Burman (gitar), Bongky Marcel (bass), Indra Q (keyboard) dan Ipank Lazuardi (penyanyi).

BIP boleh diiktiraf sebagai antara band rock legenda Indonesia kerana Pay, Bongky dan Indra adalah bekas anggota band rock nombor satu Indonesia iaitu Slank. Mereka menghasilkan lima album dengan Slank bersama Kaka (penyanyi) dan BimBim (dram) sebelum berundur pada 1996 dan menubuhkan BIP. Selain itu, ‘mewakili’ Indonesia adalah Pindad Rock Star, Erik & The Gotune yang dianggotai Iwan Xaverius (bekas anggota Edane) dan Jhon Barhaend.

Rockers Malaysia pula dibarisi pemain gitar legenda, Man Kidal (Search / Lefthanded), Lola (pemain dram XPDC) dan Cliff Umar (penyanyi kumpulan Project Pistol), manakala Singapura menampilkan Yazid (penyanyi dan pemain bass kumpulan Lovehunters).

Man Kidal

Menurut Man Kidal, Konsert Kolaboraci ini sudah dirancang lebih lima tahun yang lalu, namun ketika itu beliau masih belum menemui lagi personaliti yang sesuai untuk digabungkan dalam konsert ini.

“Kita dah rancang lima tahun lalu, tapi belum jumpa lagi siapa yang sesuai untuk bergabung, akhirnya saya jumpa Yazid Lovehunter, Lola, Cliff dan dua lagi artis dari Indonesia yang sememangnya kena dan nampak lebih menarik,” katanya.

Bagi Yazid Lovehunter menjadi kebiasaanya beliau menyanyi sambil bermain bass, tetapi tidak untuk konsert ini. Beliau yang popular dengan lagu Sambutlah Kasih menjelaskan bahawa konsert yang dipersembahkan oleh artis dari tiga negara ini amat baik untuk perkembangan industri muzik.

Beliau juga amat terharu dengan sambutan hebat lagu Sambutlah Kasih menjadikan diri beliau masih diingati peminat sehingga sekarang.

“Saya bersyukur lagu Sambutlah Kasih ini bukan sahaja popular di Malaysia dan singapura malah lagu ini juga telah popular di Indonesia, ianya sungguh terharu buat saya dan untuk malam konsert itu nanti saya akan menyanyikan lagu tersebut.” kata Yazid.

Yazid Lovehunter

Selaku penganjur, Aci Gold mahu aktif menyumbangkan sesuatu kepada industri muzik Indonesia. “Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menampilkan band rock, penyanyi dan pemuzik berpengalaman serta popular dari tiga negara, Konsert Kolaboraci juga sebagai salah satu destinasi hiburan yang dinantikan penonton. la juga sebagai pentas harapan buat penggiat muzik, peminat dan golongan peniaga yang sebelum ini terkesan akibat penularan Covid-19.

Pandemik Covid-19 sudah beransur pulih. Namun dalam masa sama, kita masih perlu berjaga-jaga dan mematuhi protokol kesihatan. Bagaimanapun, industri muzik dan hiburan tetap perlu diadakan.

“Muzik tidak hanya hidup untuk penggiat seni saja, tetapi muzik adalah kehidupan bagi manusia. Muzik adalah cara kita melepas rindu,” katanya. 

Lola XPDC dan Cliff Umar

Menurutnya, dalam usaha membina satu komuniti di Asia Tenggara, Aci Gold juga bekerjasama dengan koperasi tempatan, MyUBI yang mempunyai 3,000 ahli akan menjayakan Konsert Kolaboraci di Malaysia. Kedua-dua entiti ini bekerjasama dalam pelbagai bidang perniagaan di Timur Tengah yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

Sementara itu, pemain bass BIP, berkata, “BIP sangat teruja dapat mengadakan persembahan di konsert ini selepas sekian lama tidak terbabit dengan sebarang konsert.

“Sudah lama kami tidak membuat persembahan. Saya pun sudah lupa. Rasanya sudah tiga tahun kami tidak membuat persembahan,” katanya.

Menurut Bongky, konsert ini bakal memberi semangat baru buat industri muzik Indonesia yang terhenti selama dua tahun akibat Covid-19.

Bongky Marcel

Tiket pra-jualan berharga RM303 (VIP), RM152 (Tribune) dan RM75 (Festival) boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.kolaboraci.online. Tidak ketinggalan, peminat di luar Jakarta khususnya dari Malaysia dan Singapura juga boleh menonton konsert ini secara dalam talian atau streaming pada hari yang sama. Untuk tontonan streaming, tiket bernarga RM15 juga bolen dibeli di laman www.kolaboraci.online

Persembahan Man Kidal, Yazid dan Lola di majlis sidang media