SHAH ALAM – Seawal jam 4 petang lagi ribuan peminat dua kumpulan rock gergasi Barbarik dan Search sudah mula berkumpul di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam sementara menanti ‘greenlight’ untuk memasuki ke dalam dewan acara bagi menyaksikan kehebatan dua kumpulan rock beraksi di pentas Double Trouble 2 pada 5 Ogos yang lalu.
Dapat dilihat pelbagai gelagat dan ragam peminat yang hadir dengan menggayakan fesyen rock 80an, ada yang tidak melepaskan peluang bersuafoto bersama teman-teman ‘sekepala’ dan ada yang sedang menjamu selera serta ada yang membelek ‘merchandise’ di gerai-gerai yang telah disediakan di sekitar perkarangan stadium. Pengunjung yang hadir dari pelbagai pelusuk negeri menjadikan konsert Double Trouble 2 ini umpama ‘gathering’ buat mat rock dan minah rock di seluruh tanah air.
Tepat jam 8 malam hampir keseluruhan stadium telah dipenuhi hampir 7,000 peminat yang ingin menyaksikan kehebatan 2 gergasi bertarung di atas satu pentas. Munculnya susuk tubuh Isma Halil Hamzah yang cukup sinonim dengan muzik mahupun konsert rock kini kembali mengubati kerinduan peminat untuk mendengar celotehnya dan beliau ditugaskan sebagai emcee pada malam tersebut sebelum tirai persembahan dibuka.
Search membariskan Noordin (pemain gitar), Kid (pemain gitar), Yan (pemain bass), Denden Gonjalez (vokalis) dan Minn (drum). Manakala Barbarik diterajui Jo Branko (gitaris), Muss (vokalis) tiga pemuzik berkarisma iaitu Ainoll (drum), Rozaimie (gitar bass) dan Adi Yamin (keyboard/piano) kemudiannya disatukan menerusi ‘opening’ Balada Pemuzik Jalanan yang membawa khalayak untuk bermeditasi bersama sehingga ke noktah terakhir.
Raum, Mencari Asal Usul, 203, Idaman dan Hati Sulam Lain kemudiannya di ‘lontarkan’ Barbarik kepada khalayak. Meskipun ada di antara seleksi lagu tersebut mengundang ‘vakum’ di kalangan penonton dan pastinya ‘membunuh’ mood khalayak yang ketika awalnya sudah maksima, namun ianya diceriakan dengan petikan gitar Joe Branko yang cukup ‘berwarna’.
Suasana kembali ‘havoc’ dengan lontaran vokal Muss bersama peminat yang turut sama melagukan Keris Tak Bersarung, Sakit Bantal Empuk dan Biru Mata Hitamku yang sekaligus ‘merehatkan’ Barbarik buat seketika.
Search mengambil ‘tahta’ menjadi raja dengan Di Pintu Sepi, Emanuelle, Pembakar Perasaan, Asli dan Tulus, Metropolitan, Rock n Roll Pie dan Pelesit Kota. Tidak perlu di pertikai kewibawaan Search yang sudah membuktikan bahawa ‘mereka’ adalah Rock n Roll. Seleksi lagu yang cukup dekat dengan jiwa peminat rock sebenar.
Pertarungan’ antara Minn dan Ainol pastinya membangkitkan semangat membara, dentuman paddle silih berganti antara snare dan tom tom memberikan warna dalam muzik. Masing-masing punya ke’ego’an demi memastikan rencah dan acuan rock n roll itu sempurna.
Padamkan Lampu Tidurmu, Gadisku, Inspirasi Syakilla, Gadis Misteri pula menyaksikan lembaran duet Barbarik dan Search kemudiannya berkesinambungan dengan Kejora dan Blues Ular Sawa yang melengkapkan versi akustik. Sebuah lagu yang rasanya tidak pernah dipersembahkan kepada umum, Mencari seolah-olah memberi ‘petanda’ positif ke manakah arah tuju sebenar.
Tanpa Gemuruh pastinya jenama Double Trouble itu tidak menepati piawaian konsert yang menjenamakan ‘Double Trouble’ itu sendiri. Ternyata klimaks kepada konsert itu sudah berada di puncak sementelah melihat wajah-wajah peminat yang cukup puas namun ianya dilengkapi dengan Pasti bagi menutup tirai Konsert Double Trouble 2 yang berdurasi hampir 3 jam.
Tatarias pentas yang tersergam luas memberikan pengalaman serta kebebasan pengkarya untuk memaksimakan pergerakkan apatah lagi ianya dilatari dengan ratusan cahaya yang menerangi serta menghidupkan sesebuah konsert. Inilah ‘warna’ yang ingin dilihat serta disenyawakan dengan sistem bunyi yang melengkapi ‘nafsu’ telinga selain untaian lirik dan melodi yang diterjemahkan secara kolektif.