KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Rocketfuel Entertainment sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri hiburan tanah air apabila tiga buah lagu Raya terbitannya mencipta fenomena tersendiri sepanjang Ramadan dan Syawal 2025. Lagu-lagu berjudul “Meriah Lain Macam”, “Nyam Nyam Ketupat” dan “Dam Dim Dum Raya” berjaya mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan secara kolektif di YouTube serta platform digital lain, menjadikannya antara projek muzik Raya paling berjaya dalam sejarah syarikat itu.
“Meriah Lain Macam” Dominasi Carta & Trending 33 Hari Berturut-turut
Nyanyian duet Hael Husaini dan Nadeera, “Meriah Lain Macam” mengungguli pelbagai carta tempatan termasuk Carta RIM (kini dikenali sebagai Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, serta YouTube Music di Malaysia dan Brunei. Lagu ini turut mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan tersenarai sebagai trending nombor satu selama 33 hari berturut-turut.

Dicipta oleh Hael sendiri bersama Iqie Hugh, lagu ini membawa tema keceriaan pasangan suami isteri yang pulang ke kampung untuk beraya.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap lagu ini sungguh luar biasa. Kami hanya ingin sampaikan semangat dan kegembiraan Raya, namun impaknya benar-benar luar jangkaan,” ujar Hael Husaini penuh syukur.
“Nyam Nyam Ketupat” Tarik Perhatian Dunia & Jadi Tarian Tular
Lagu “Nyam Nyam Ketupat”, hasil kolaborasi Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy pula mencetuskan kegilaan dengan melodi ceria dan lirik yang mencuit hati. Ia bukan sahaja mendapat hampir 8 juta tontonan di YouTube, malah tersenarai di kedudukan ketiga carta Most Streamed Malay Singles in Malaysia.

Menariknya, lagu ini turut menjadi pilihan pemain badminton dunia dan juara Olimpik Paris, Victor Axelsen, yang menggunakannya sebagai latar bunyi dalam video TikTok ketika menjalani latihan di Denmark, sekali gus menambah popularitinya di peringkat antarabangsa.
“Melihat orang ramai menari dan menyanyi bersama lagu ini di media sosial sangat mengujakan. Ini adalah antara pencapaian terbaik saya musim Raya ini,” kata Wani Kayrie.
“Dam Dim Dum Raya” Bukti Kejayaan Solo Nadeera
Sementara itu, “Dam Dim Dum Raya” nyanyian solo Nadeera turut mencatat pencapaian membanggakan dengan lebih 800,000 tontonan di YouTube. Lagu ini menjadi bukti kemampuan Nadeera sebagai artis solo dalam membawa semangat Hari Raya.
“Ini lagu Raya solo pertama saya, jadi maknanya sangat besar. Sokongan peminat memberi semangat untuk saya terus berkarya,” jelas Nadeera.

Perancangan Masa Depan & Pelancaran Karya Versi AJL
Bersandarkan kejayaan luar biasa ini, Rocketfuel Entertainment berhasrat untuk terus menerbitkan karya berkualiti yang segar dan menghiburkan. Syarikat itu turut mengumumkan pelancaran versi AJL bagi lagu “Bukan Lagi Kita” (Nadeera) dan “Diam” (Hael Husaini) yang kini boleh distrim di semua pelantar digital bermula 1 Mei 2025.