January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Ella, ikon muzik terkenal Malaysia yang dikenali sebagai Ratu Rock, kini membawa revolusi ke dunia fesyen dengan jenama gaya hidupnya, ROCKQUEEN. Ditubuhkan pada tahun 2021, jenama ini mencerminkan visi Ella untuk memperkasakan wanita melalui fesyen berani yang memadukan gaya sederhana dan elegan.

ROCKQUEEN beraspirasi untuk menjadi simbol perubahan positif, menggalakkan wanita menerima keunikan diri mereka dengan penuh keyakinan. Koleksi jenama ini diinspirasikan oleh gaya urban yang mengutamakan kesederhanaan, direka untuk memastikan keselesaan dalam pergerakan tanpa mengabaikan elemen estetik.

“ROCKQUEEN bukan sekadar jenama fesyen – ia adalah satu pernyataan,” kata Ella. “Ia tentang memperkasakan wanita untuk merasa yakin, kuat, dan menjadi diri sendiri tanpa ragu. Kami mahu mentakrifkan semula maksud kesopanan dengan menggabungkan gaya.”

Setiap rekaan ROCKQUEEN menampilkan elemen minimalis yang elegan dengan perincian berani, menonjolkan keunikan individu sambil menghormati nilai-nilai kesopanan. Koleksi pakaian ini dirancang untuk memenuhi pelbagai keperluan – daripada gaya harian yang santai hingga busana serbaguna yang sesuai untuk acara istimewa.

Misi ROCKQUEEN melangkaui sekadar fesyen. Jenama ini berhasrat untuk membina komuniti wanita yang berdaya maju, saling menyokong, dan menjadi inspirasi dalam menyatukan kepelbagaian citarasa.

Pelancaran Rasmi di Program Muslimah Fest 2024

Acara pelancaran rasmi ROCKQUEEN akan diadakan pada 21 Disember 2024 di Program Muslimah Fest 2024, bertempat di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC). Majlis ini telah menampilkan pertunjukan fesyen koleksi sulung ROCKQUEEN, diserikan dengan persembahan nyanyian khas oleh Ella.

Sebagai ikon muzik Malaysia selama hampir empat dekad, Ella bukan sahaja mencipta revolusi dalam industri muzik tetapi juga menjadi inspirasi kepada wanita dari pelbagai generasi. Dengan pelancaran ROCKQUEEN, Ella terus memecah batasan, mentakrifkan semula norma fesyen, dan menyampaikan mesej keberanian serta keanggunan kepada wanita moden.

ROCKQUEEN – mendefinisi gaya sopan, meraikan keberanian.