Rossa Bakal Ulangi Magis “Here I Am” Di Kuala Lumpur: Hael Husaini & The Ladies Meriahkan Pentas

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Selepas mencipta fenomena luar biasa dengan kehadiran lebih 12,000 peminat pada konsert Here I Am di Indonesia Arena, Jakarta baru-baru ini, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa kini bersedia mengulangi keajaiban itu di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.

Konsert berskala besar yang akan berlangsung di ibu negara ini bukan sekadar memperkukuh kedudukan Rossa sebagai penghibur unggul serantau, malah menjadi simbol penghargaan buat peminat setianya di Malaysia – negara yang menjadi saksi penting dalam hampir tiga dekad perjalanan seni beliau.

Rossa

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di sinilah kerjaya saya berkembang dan diterima dengan penuh kasih sayang oleh peminat. Konsert Here I Am adalah hadiah dan tanda cinta saya buat mereka,” ujar Rossa.

Konsert berdurasi lebih dua jam di Jakarta sebelum ini menyaksikan Rossa mempersembahkan lebih 25 lagu hits termasuk Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Pudar, Terlalu Cinta dan Aku Bukan Untukmu, yang mengundang nostalgia dan emosi mendalam daripada peminat.

Bagi edisi Kuala Lumpur, Rossa bakal disertai barisan artis undangan istimewa yang menjanjikan malam penuh magis. Antaranya, penyanyi berbakat besar Hael Husaini yang akan berganding bahu dalam persembahan eksklusif, serta The Ladies – kumpulan terdiri daripada alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.

Hael Husaini

“Saya sangat mengagumi Hael kerana setiap lagu yang dinyanyikannya punya jiwa dan rasa. Itulah yang saya cari dalam setiap kolaborasi,” jelas Rossa. “The Ladies pula membawa kekuatan wanita dalam muzik. Saya yakin penonton di KL akan merasai keindahan momen ini.”

Tidak cukup dengan itu, konsert kali ini turut menampilkan beberapa figura seni yang dekat di hati Rossa. Antaranya, Ariel Noah yang bakal berduet bersama Rossa dalam satu persembahan istimewa, serta Ernie Zakri, penyanyi bersuara lantang yang akan mempersembahkan gandingan mantap.

The Ladies

Kemunculan MK K-Clique dijangka menyuntik elemen segar dan dinamik, manakala DJ dan produser terkenal Dipha Barus pula akan memberi sentuhan muzik elektronik yang unik dan mengejutkan. Sebagai penghormatan kepada bakat tempatan, Rossa turut menampilkan empat finalis One In A Million – Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen – dalam persembahan khas.

Konsert Here I Am anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama Sah Entertainment sebagai rakan promosi dan pemasaran, dijangka menjadi malam penuh kenangan yang menyatukan peminat pelbagai generasi.

Tiket konsert kini boleh didapati menerusi platform www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Untuk pembelian tiket korporat, orang ramai boleh menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel ke: ro***@*************in.com.

Konsert Here I Am bakal menjadi momen yang menyentuh hati dan membuktikan betapa muzik mampu menyatukan insan, merentas usia, negara dan sempadan.