February 12, 2025

KUALA LUMPUR : Seiring dengan kempen penjenamaan dan pendigitalan bersama Datuk Rosyam Nor yang dijalankan sejak awal tahun ini, Usanita Sdn Bhd meluaskan lagi jajahan digitalnya dengan membuka Usanita Mall.

Rosyam yang juga pelakon dan ahli perniagaan berkata, usaha yang dijalankan menerusi kempen program kerjasama bersama Usanita Sdn Bhd itu dapat memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam kalangan M40 dan B40.

“Idea ini tercetus apabila pandemik berlaku dan ramai usahawan IKS yang terkesan. Mereka ini jugalah golongan tegar yang membantu jenama Rosyam Nor dari tidak ada apa-apa, sehingga menjadi seperti sekarang.

“Jadi, untuk memberi semula kepada kepada mereka, saya akan bantu mereka dengan menggunakan platform saya iaitu Suhan Channel yang jumlah keseluruhan tontonan melebihi 28 juta di YouTube, untuk membantu memasarkan produk mereka,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan, kebanyakan usahawan ini adalah daripada golongan terkesan oleh pandemik Covid-19 yang ingin kembali bangkit membina ekonomi keluarga. Kewujudan Usanita Mall adalah salah satu cabang bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kalau nak dihitung market place yang ada hari ini, memang tidak terkira hingga wujudnya persaingan tetapi saya melihat dari aspek positif di mana platform ini telah membuka ruang kepada usahawan-usahawan untuk berdagang dan memperkenalkan produk mereka kepada umum.

“Malah kehadiran Usanita Mall juga bukan tujuan untuk bersaing dengan market place sedia ada namun ia lebih kepada ruang tadi. Lebih banyak ruang untuk usahawan berniaga, bermakna lebih besar peluang untuk mereka mendapatkan jualan serta menjana pendapatan yang akhirnya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selari dengan arus digitalisasi kini, setiap usahawan perlu mengubah kaedah dan strategi perniagaan sesuai dengan corak pembelian masa kini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan

Menurut beliau yang juga ahli perniagaan berjaya, paparan Usanita Mall yang ringkas dan mudah difahami ini sesuai untuk penggunaan setiap lapisan masyarakat. Platform ini dibuka secara percuma kepada semua peniaga yang ingin membuka akaun di Usanita Mall termasuklah golongan usahawan OKU.

Katanya, tarikan utama Usanita Mall ialah senarai ‘VIP Merchants’ yang juga merupakan rakan strategik Usanita Sdn Bhd seperti Rizman Ruzaini, Awal Ashaari, Fiziwoo, Fazs Faozi dan ramai lagi. Dengan adanya senarai ‘VIP Merchants’ ini dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung ke platform ini.

“Persaingan sesama peniaga hari ini bukan kecil anak, malah terlalu banyak produk yang sama dijual di pasaran tetapi apakah yang membezakan produk antara usahawan-usahawan itu? Jika orang tidak mengenali produk kita, macam mana pembeli ingin percaya dengan apa yang kita tawarkan?” kata Adzliana.

Sementara itu, Usanita Sdn Bhd turut menganjur program Bootcamp Perintis Usanita-Penjenamaan & pendigitilan di lokasi yang sama. Bootcamp selama 3 hari itu melibatkan seramai 50 usahawan dari seluruh negara yang terpilih selepas saringan demi saringan selama lebih tiga bulan dilakukan oleh Usanita Sdn Bhd dan Datuk Rosyam Nor selaku duta Perintis Usanita-Penjenamaan & Pendigitalan.

Menurut Rosyam, imej beliau akan digunakan dalam membantu memasarkan produk mereka selama setahun. Selain itu, mereka akan ditemubual di saluran YouTube Suhan Channel dan beliau bersama pasukan Datin Adzliana akan melawat premis perniagaan mereka.

“Apabila menggunakan nama dan imej saya, mereka perlu menjaga kredibiliti saya yang saya bina selama 39 tahun. Saya nak lihat peningkatan dalam perniagaan mereka dan kita akan berikan latihan untuk memastikan mereka berjaya. Kejayaan mereka adalah kejayaan saya dan juga Usanita,” kata Rosyam.

Selain Rosyam, Usanita turut melantik rakan strategik lain iaitu Pengerusi VX Group of Companies, Tunku Aaran Mohamad Tunku Mu’tamir.

Terdahulu, majlis pelancaran Usanita Mall & U-Niaga dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Bin Wan Ahmad Kamal bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Wan Ahmad Fayshal merasmikan pelancaran Usanita Mall & U-Niaga

 

@kelkatutv

sudah sampai masanya hero bantu balik mereka #fyp #rosyamnor #usanitamall #Uniaga @usanitaofficial

♬ original sound – kelkatu.tv – kelkatu.tv