KUALA LUMPUR – Tahun 2025 bakal dimulakan dengan gegaran irama rock menerusi konsert ROXtheNATION, yang mempertemukan tiga figura ikonik rock dari dua negara, Man Keedal, Jo Branko, dan Eet Sjahranie, di pentas yang sama buat pertama kalinya.
Konsert yang dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur ini akan berlangsung pada 25 Januari 2025 di lokasi ikonik tersebut. Acara ini adalah hasil kerjasama antara Menara Kuala Lumpur, FAR Worldwide selaku penganjur, dan SU.RE Sihat KL (Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur).
Impian Tertunda yang Menjadi Realiti
Pengerusi projek, Ellie G, menyifatkan ROXtheNATION sebagai satu impian tertunda yang akhirnya terlaksana, mempersembahkan kekuatan muzik rock yang merentas sempadan Malaysia dan Indonesia.
“ROXtheNATION adalah manifestasi muzik rock dalam bentuk sebenar, menyatukan Man Keedal, Jo Branko, dan Eet Sjahranie – ikon yang bertahan hampir empat dekad dalam industri. Gabungan mereka akan memberikan pengalaman muzik yang magikal dan luar biasa,” katanya semasa sidang media di Menara Kuala Lumpur.
Sidang media turut dihadiri Man Keedal, Jo Branko, dan Eet Sjahranie, yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Sokongan Amal dan CSR
Sebahagian hasil jualan tiket (5%) akan disumbangkan kepada SU.RE Sihat KL, persatuan yang berusaha menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur. Tambahan lagi, kerjasama dengan jenama kecantikan Farmasi juga akan menyumbang 5% daripada hasil jualan produk mereka kepada persatuan tersebut.
Ellie G turut mengumumkan hadiah sebuah motosikal Harley Davidson untuk audiens bertuah ROXtheNATION. Selain itu, program CSR yang melibatkan ketiga-tiga ikon rock akan diadakan, menyampaikan mesej kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia melalui muzik.
Ikon Rock Dua Negara
Man Keedal, gitaris berusia 61 tahun, adalah pengasas kumpulan Lefthanded pada tahun 1983, manakala Jo Branko (55 tahun) pernah mencipta nama sebagai pemain gitar utama Wings sebelum menubuhkan Barbarik. Dari Indonesia, Eet Sjahranie (62 tahun) adalah gitaris legenda dari band God Bless dan Edane.
“Kebetulan ketiga-tiga mereka adalah gitaris rock, menjadikan kolaborasi ini unik dan menjanjikan persembahan luar biasa,” kata Ellie G.
Man Keedal Perkenal Generasi Baharu Rock Tempatan
Dalam sidang media yang berlangsung, legenda rock tanah air Man Keedal memperkenalkan kumpulan Waris, yang bakal membuat penampilan istimewa di konsert ROXtheNATION. Band yang diasuh oleh Man Keedal ini ditubuhkan tiga tahun lalu dan membawa konsep pelapis generasi baharu untuk terus memartabatkan muzik rock di persada industri.
Kumpulan Waris mempunyai keunikan tersendiri, diterajui oleh cucu Man Keedal, Adam, yang baru berusia 14 tahun dan bertindak sebagai pemain dram. Melengkapkan formasi Waris adalah Yunos (bass), anak didik Allayarham Samad Lefthanded, dan Daniel (gitar), pelajar berbakat dari ASWARA. Peranan vokalis utama pula disandang oleh Fuad Rahman, yang tampil dengan suara mantap dan karisma tersendiri.
“Waris adalah langkah pertama untuk melahirkan pelapis yang mampu terus mewarnai industri muzik tempatan. Ia bukan sekadar band, tetapi simbol kesinambungan warisan muzik rock,” kata Man Keedal.
Beliau turut menjelaskan rancangan asal untuk membawa Lefthanded bersama Datuk Nash dan Datuk Ramli Sarip ke konsert tersebut, namun terpaksa ditolak atas sebab jadual yang tidak selari. “Walaupun mereka tidak dapat menyertai, saya yakin konsert ini tetap akan menjadi momen luar biasa untuk para peminat,” tambahnya.
Joe Branko Janji Persembahan Istimewa
Joe Branko berkongsi keterujaannya untuk mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada kumpulan Barbarik dalam konsert ini.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, ia adalah peluang untuk saya memperkenalkan karya-karya terkini kami. Dan ini bukan ‘first and last’; jika konsert ini berjaya, Insya-Allah akan ada kesinambungan untuk konsert seperti ini,” katanya penuh keyakinan.
Eet Sjahranie Bersama Edane Bakal Memukau Penonton
Sementara itu, Eet Sjahranie, legenda gitar Indonesia yang dikenali dengan teknik permainan kompleks, improvisasi bertenaga, dan pengaruh besar dari gitaris antarabangsa seperti Eddie Van Halen dan Steve Vai, bakal tampil memukau bersama kumpulannya, Edane.
Kumpulan Edane yang terdiri daripada Ervin Nanzabakri (vokalis), Fajar Satritama (dram), Arie Ria (bass), dan Hendra Zamzami (gitar) bersedia untuk memberikan persembahan yang memukau dan bertenaga kepada para peminat.
“Kami cuba memberikan yang terbaik, bukan hanya untuk peminat di Indonesia, tetapi juga Malaysia. Ini bukan soal persaingan, tetapi penyatuan melalui muzik. Semoga apa yang kami persembahkan dapat menjadi inspirasi buat semua,” ujar Eet dengan penuh harapan.
Barisan Kepakaran di Sebalik ROXtheNATION
Bagi memastikan penganjuran konsert berjalan lancar, Man Keedal turut memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Konsert dan Muzik. Pasukan penganjur lain termasuk Samsul Kamal (Penolong Pengarah Projek), Jerry Hend (Pengarah Kreatif), Mewah Event Management (Promosi), dan Ilasso Tickets (Pengurusan Tiket).
Tiket boleh didapati dengan harga berikut:
• RM188 (Silver),
• RM288 (Gold),
• RM388 (VIP).
Bagi tontonan secara Live Streaming, harga tiket hanya RM30.
Pra jualan tiket bermula 26 November 2024, manakala jualan biasa akan dibuka pada 15 Disember 2024 melalui laman web www.ilassotickets.com.
Aspirasi Masa Depan
Ellie G menyatakan keyakinan bahawa ROXtheNATION mampu menjadi acara tahunan yang akan terus mengukuhkan industri muzik dan pelancongan Malaysia.
“Dengan edisi sulung ini, kami bukan sahaja mengangkat nama muzik rock, tetapi juga memperkukuh persahabatan antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia,” tambahnya.
Konsert ini dijangka menarik lebih 3,000 penonton secara fizikal, menjadikannya satu acara ikonik yang bakal dikenang dalam sejarah muzik tempatan dan serantau.
Kredit foto: Papa Din