KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited menampilkan kandungan berinspirasi dan bermanfaat menerusi drama bersiri terbaharunya, Iqbal, yang bakal menemui penonton mulai 6 Jun ini, setiap hari jam 8.00 malam di saluran Okey (MYTV 110 & Astro 146) serta RTMKlik.
Menerusi drama 30 episod terbitan NS Star Sdn. Bhd. dan arahan Amor Rizan, RTM mengetengahkan isu fesyen Muslimah yang menepati syariah, melalui watak utama, Iqbal — seorang pemuda berpendidikan agama yang bercita-cita menjadi pereka fesyen tersohor.
Barisan pelakon popular seperti Hariz Hamdan, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Nor Aliah Lee, Hafreez Adam, Zulkifli Ismail, Dynas Mokhtar, Haleeda dan Arash Mohd berganding menjayakan drama ini.
Iqbal mengisahkan perjalanan hidup seorang anak muda lulusan madrasah pondok yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang rekaan fesyen di sebuah kolej. Namun, cita-citanya tidak diterima baik oleh keluarga, terutama abangnya Rafidi, yang berpendirian konservatif.
Dek tekanan dan sindiran keluarga, Iqbal membawa diri ke Istanbul untuk menimba ilmu serta pengalaman bekerja di butik milik Datin Nazreen. Di sana, bakat Iqbal dalam rekaan Muslimah patuh syariah mula mendapat perhatian dan membuka peluang kolaborasi ke pasaran Turkiye.
Di Istanbul juga, Iqbal bertemu Aliya, seorang pempengaruh fesyen yang hadir bagi menjalani penggambaran promosi tudung bersama rakannya, Tiara, seorang jurufoto profesional. Iqbal menginspirasikan mereka untuk menubuhkan jenama fesyen sendiri, dan hubungan antara Iqbal dan Aliya mula terjalin.
Konflik tercetus apabila Natasha, kakak kepada Aliya dan Tiara merangkap pereka fesyen terkenal Kuala Lumpur, salah faham dan menuduh mereka meniru rekaan syarikatnya. Namun, kehebatan Iqbal terus menyerlah apabila beliau menerima jemputan mereka busana pengantin untuk keluarga diraja Timur Tengah serta diberi gelaran The Royals Tailor oleh sebuah majalah fesyen antarabangsa.
Sekembalinya ke tanah air sebagai jutawan dan pemilik akademi fesyen tersendiri, Iqbal tidak lupa asal usulnya dengan meneruskan kembali madrasah peninggalan datuknya di kampung. Perubahan sikap Natasha akhirnya membawa kepada perdamaian, dan hubungan keluarga kembali terjalin. Drama ini berakhir dengan Iqbal dan Aliya diijabkabulkan.
Iqbal bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa fesyen dan syariat boleh seiring, serta memberi inspirasi kepada anak muda dalam mengejar impian tanpa mengenepikan nilai agama.