RTM Perkenal Teknologi Hologram dan AI Dalam “Salam Baitullah 2025” – Sasar 2 Juta Tontonan Musim Haji Ini

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan komitmen dalam memperkasa kandungan Islamik menerusi program keagamaan unggulnya, Salam Baitullah 2025, yang kini memasuki musim ke-17. Tahun ini, program tersebut tampil dengan pembaharuan besar apabila buat pertama kalinya memperkenalkan teknologi hologram dan kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian kandungannya.

Elemen baharu ini diterapkan khusus dalam segmen popular seperti Rehlah Haramain dan Muslim World, sekali gus memberikan dimensi interaktif dan naratif yang lebih mendalam serta imersif kepada penonton.

Penggunaan teknologi canggih itu menjadikan Salam Baitullah sebagai program keagamaan pertama di RTM yang memanfaatkan gabungan AI dan holografik, sejajar dengan usaha mempersembahkan mesej rohani secara moden, berkesan dan relevan dengan kehendak penonton masa kini.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), En.Nasaruddin Abdul Muttalib (empat dari kanan) dan En Shahri Saripan (tiga dari kanan) bergambar dengan penerbit dan hos program Salam Baitullah 2025

Disiarkan secara langsung dari Masjid Putra, Putrajaya, program ini dijangka menarik lebih 2 juta tontonan setiap malam melalui saluran TV1 dan pelbagai platform digital RTM sepanjang musim haji.

Tujuh segmen utama diatur bagi memberi kepelbagaian dalam penyampaian kandungan, antaranya:

  • Al-Bayan

  • Rehlah Haramain

  • Muslim World

  • Khabar Tanah Suci

  • Duyufurrahman

  • Hikmah Al-Hajj

  • Selingan Rohani

Menambah tarikan baharu, RTM turut melancarkan segmen Podcast Salam Baitullah 2025 yang akan bersiaran setiap hari dari jam 7.45 hingga 8.30 malam melalui media sosial rasmi RTM. Segmen ini dijangka menarik minat generasi muda menerusi pendekatan santai dan kontemporari.

Barisan pengacara tahun ini turut memperkukuh kredibiliti program dengan penampilan Ustaz Fakhrul Radhi dan Ustaz Jalal Zaiki yang membawakan pengisian ilmiah dan kerohanian. Turut bersama, penyanyi dan selebriti popular Zizi Kirana memimpin segmen podcast dengan gaya segar dan santai.

Salam Baitullah 2025 akan disiarkan bermula 24 Mei hingga 7 Jun 2025, merangkumi 16 episod berturut-turut setiap malam dari jam 9.00 hingga 10.30 malam di TV1 serta semua platform digital RTM.

RTM terus membuktikan kesungguhan dalam memperkasakan penyiaran Islamik dengan pendekatan teknologi tinggi tanpa mengabaikan nilai spiritual. Salam Baitullah 2025 bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengembaraan rohani digital nasional yang mengangkat tema, “Seruan Ilahi, Cahaya Nurani.”