KUALA LUMPUR, 20 Mac 2025 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan menayangkan telemovie khas bertajuk Along Bakal Mati Syawal Ini? Arahan Erfan Zainaldin, telemovie ini bakal menemui penonton menerusi slot Panggung RTM pada 31 Mac 2025, jam 9.00 malam di TV1 dan juga boleh ditonton menerusi aplikasi RTMKlik.
Keistimewaan telemovie ini terletak pada penggunaan loghat Terengganu yang memberikan kelainan serta menyuntik elemen kekeluargaan yang menyentuh perasaan, khususnya mengenai kasih sayang di antara adik-beradik setelah kehilangan kedua ibu bapa.
Menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Mat Over @ Sulaiman Yasin, Jalil Hamid, Datin Fadilah Mansor, Farah Ahmad, dan Che Kem, telemovie ini diharap dapat memberi kesedaran dan pengajaran mengenai pentingnya hubungan kekeluargaan yang tidak seharusnya terputus walau apa jua rintangan yang mendatang.

Kisah Sarat Emosi dan Pengajaran
Telemovie ini mengisahkan tentang Manaf, seorang pembuat wau yang tinggal seorang diri di sebuah kampung di Terengganu setelah kematian ibu dan ayahnya ketika masih muda. Dua adiknya, Zahir dan Fatin, sudah berkeluarga dan menetap di Kuala Lumpur, jarang pulang ke kampung akibat perselisihan faham yang berlaku di antara mereka.
Zahir yang telah berkahwin dengan Rohani, mempunyai seorang anak dan dua cucu, manakala Fatin yang berkahwin dengan Arman dikurniakan dua anak, Yasmin dan Haikal. Walaupun hidup berjauhan, Manaf sering merindui kemeriahan Syawal seperti dahulu dan meluahkan rasa sunyi kepada sahabat sekampungnya, Tok Lang.
Melihat keadaan Manaf, Tok Lang memberikan cadangan yang mungkin dapat menyatukan semula keluarganya. Namun, apakah cadangan itu mampu membuahkan hasil? Saksikan jawapannya menerusi telemovie Along Bakal Mati Syawal Ini? hanya di TV1 dan RTMKlik.