KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, kumpulan vokal R&B bertaraf legendaris negara, Ruffedge telah berjaya menawan hati peminat mereka di Singapura dalam sebuah konsert istimewa Ruffera ‘That Moment In Time’ yang menampilkan DJ Uno di dewan utama The Theatre Mediacorp pada 24 Jun 2023, ternyata Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain masih lagi berbisa dan bertenaga dalam menghiburkan peminat mereka selama hampir 3 jam tanpa henti.
“Pertama sekali terima kasih kepada peminat-peminat Ruffedge di Singapura yang hadir menyaksikan persembahan istimewa mereka yang sememangnya ditunggu-tunggu selama ini.
“Jualan tiket di Singapura, Malaysia dan juga Brunei tidak mengecewakan dan sangat-sangat memberangsangkan, ternyata Ruffedge mempunyai pengaruh yang besar dalam industri muzik,” kata Haniff Hamzah, selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia.
Umum diberitahu bahawa ini adalah konsert terbesar yang terakhir oleh Ruffedge di Singapura, kata salah seorang pengunjung konsert, “Kami agak terkejut dengan pengumuman tersebut, namun tetap terhibur dengan persembahan mereka yang diserikan dengan visual dan konsep konsert yang menarik.
“Setiap lagu yang dibawakan mereka menggamit memori seawal tahun 2000 sehingga sekarang, sungguh menakjubkan!
Menurut Sein, “Kami sangat berterima kasih dengan sambutan dan layanan istimewa yang diberikan daripada peminat setia yang kebanyakannya merupakan peminat tegar dari dahulu, selain itu ada juga dari kalangan penonton yang hadir merupakan penyanyi hip-hop dan R&B baharu dari Singapura yang membuatkan kami rasa terharu.
Ruffedge menghiburkan penonton yang hadir memenuhi dewan The Theatre Mediacorp dengan 16 buah lagu kesemuanya seperti Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta, Lemas, Da Bomb, Bila Rindu, Khayalan dan banyak lagi.
Selain itu, penonton juga disajikan dengan kejutan istimewa dari Ruffedge bersama-sama pengarah muzik pada malam itu iaitu Dato’ Acis dengan menyayikan lagu-lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu seperti Azura nyanyian Dato’ Jamal Abdillah, Suraya oleh kumpulan R&B Indigo dan Rozana nyanyian kumpulan rock Search yang dibawakan dalam rentak R&B yang cukup unik khas buat penonton yang hadir.
Tambah Hamka Mohd Taufik, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, “Dengan menerapkan konsep pemodenan ke dalam YOLO x Ruffedge Ruffera ‘That Moment In Time’, kami telah berjaya membawa dimensi baharu dalam pertunjukan secara ‘live’ yang dapat menghiburkan penonton tidak kira peringkat umur.
Sebagai penganjur, YOLO Asia & Malaysia akan terus menerus memberikan lebih banyak lagi konsert-konsert bertaraf dunia yang akan mewarnai persada muzik negara mahupun luar.
Menurut Ib Harun, Pengasas YOLO Asia, “Kami telah menetapkan penanda aras untuk kesemua konsert yang dianjurkan oleh YOLO, dan ini ternyata salah satu kejayaan terbesar kami yang berjaya dikecapi untuk lebih lagi persembahan yang hebat di masa-masa akan datang.
Jangan lupa untuk mendapatkan tiket anda ke konsert Ruffera ‘That Moment In Time Tour’ di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 19 Ogos 2023 ini di Mega Star Arena dengan kemunculan artis istimewa yang akan diumumkan kelak pada harga seperti berikut: RM168 (Free Standing), RM 238 (Standard Seats), RM268 (Dance Zone), RM288 (Premium Seating), RM328 (Ruff Zone) dan RM3,888 (Premium+ Seating/6 pax) di laman web yoloasia.com.
Dan nantikan pengumuman konsert-konsert besar lainnya seperti Noah ‘Southeast Asia Tour’ dan juga Hammersonic (Metal Music Festival) di Kuching, Sarawak.