KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu berbakat besar dari Malang, Indonesia, Sal Priadi, yang terkenal dengan lagu popularnya ‘Gala Bunga Matahari’, bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia dalam konsert yang dinanti-nantikan. ‘Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur’ akan diadakan pada 13 Oktober 2024 di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8:00 malam, dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka, Kharisma Music.
Dalam sidang media eksklusif yang berlangsung di Silverfox Cafe, Kuala Lumpur, En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, menyatakan bahawa konsert ini adalah inisiatif untuk membawa hiburan secara langsung kepada peminat Sal Priadi di Malaysia dan seluruh Asia.


“Ini adalah peluang luar biasa bagi peminat menyaksikan secara langsung persembahan salah seorang bintang muzik paling menonjol dari Indonesia,” ujar beliau.
Sal Priadi, yang dikenali dengan lirik puitis dan melodi yang menyentuh jiwa, bakal membawa penonton melalui sebuah perjalanan emosional yang mendalam. “Ini kali pertama saya membuat persembahan besar di Malaysia dalam siri jelajah ‘Sal Priadi Zuzuzaza Tur 2024’,” katanya.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu dari album keduanya, ‘Markers & Such Pens Flashdisks’, yang menggambarkan semangat kreativiti dan keyakinan dalam mencipta sesuatu yang bermakna.
Sal Priadi turut berkongsi pengalaman peribadinya sewaktu kunjungannya ke Kuala Lumpur pada tahun lalu, yang memberinya inspirasi untuk kembali. “Kuala Lumpur sentiasa dekat di hati saya. Selepas ‘showcase’ album tahun lalu, saya teruja untuk kembali dengan konsert yang lebih besar,” tambahnya.

Peminat akan disajikan dengan persembahan selama dua jam yang merangkumi hampir 20 lagu dari kedua-dua albumnya, dengan paparan audio visual kreatif yang diselaraskan untuk menghidupkan setiap lagu yang dibawakan.
En. Ahmad Jeffny juga menzahirkan keterujaan penganjur dalam membawa Sal Priadi ke Malaysia, menyatakan bahawa konsert ini adalah peluang unik bagi Sal untuk berinteraksi dengan peminatnya. “Kami yakin ini akan menjadi malam yang penuh dengan keajaiban dan kenangan indah,” katanya.

Konsert ini turut disokong oleh beberapa penaja, termasuk Citilink Indonesia sebagai penaja penerbangan, serta Intan Gelombang dan Futurace sebagai rakan penaja utama. Radio ERA dan Gempak.com pula bertindak sebagai rakan media rasmi.

Tiket bagi konsert ini kini boleh didapati melalui laman web ticket2u.com.my/sal-priadi dengan harga berikut:
- Dari Planet Lain (VIP Standing): RM258
- Gala Bunga Matahari (Standing): RM158
- Amin Paling Serius (VIP Seated): RM258
- Foto Kita Blur (Normal Seated): RM188
- VVIP Box: RM4,000
Tempat adalah terhad, jadi peminat disarankan untuk mendapatkan tiket mereka secepat mungkin bagi menikmati persembahan eksklusif ini.