KUALA LUMPUR – Salam Baitullah, sebuah rancangan tonggak RTM bersiaran setiap kali musim haji kembali menemui penonton bermula 2 Jun hingga 17 Jun ini. Musim ke-16 menjanjikan suatu keistimewaan apabila buat julung kalinya Salam Baitullah akan bersiaran di luar Angkasapuri iaitu di Masjid Putra, Putrajaya. Ia sekaligus satu berita baik kepada peminat dan penonton setia Salam Baitullah yang dapat hadir dan menonton rancangan ini secara langsung di Putrajaya.
“Pemilihan Masjid Putra adalah kerana keunikan, panorama indah dan ketenangan tasik Putrajaya”, menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman selepas berlangsungnya Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2024 bertempat di Hotel Mardhiyyah Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, apabila program ini dijalankan di luar studio, ia mendekatkan lagi orang ramai dengan jenama RTM.

Tahun ini, 17 episod program Salam Baitullah akan disiarkan secara langsung di saluran TV1, Saluran Berita – 123 MyTV juga RTMKlik berdurasi sejam 30 minit dari pukul 9 hingga 10:30 malam. Antara tarikan utama kali ini pada 2 Jun 2024 (Ahad) akan berlangsungnya Prelude Selawat Salam Baitullah bermula pukul 9 hingga 10 malam.
Dengan trend penontonan semasa di media Sosial, Salam Baitullah turut disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook, Instagram, Youtube dan TikTok setiap hari pada pukul 7:45 hingga 8:30 malam bermula 2 Jun 2024.
Dengan jumlah capaian tontonan terkumpul tahun 2023 di saluran TV1 dan Saluran Berita iaitu 9.1 juta menjadikan Salam Baitullah antara rancangan bual bicara mendapat “rating” tertinggi di TV1. (sumber: Nielsen Media)

Manakala bagi tahun 2023 juga jumlah capaian terkumpul di platform OTT iaitu RTMKlik pula ialah 47 ribu tontonan berbanding 17,345 iaitu peningkatan 180 peratus. Bagi media digital pula iaitu YouTube, Facebook dan TikTok jumlah tontonan ialah 1 juta 548 ribu.
RTM optimis jumlah tontonan bakal meningkat dengan pelbagai pembaharuan yang dilakukan termasuk radio Nasional FM sebagai rakan strategik Salam Baitullah untuk mempromosikan rancangan ini.
Bertemakan Kemuncak Ibadah, Suatu Ibrah, pada musim haji tahun ini RTM menghantar empat petugas media iaitu Kamal Firmanshah Kamaluddin, Azizi Harun, Muhamad Fahmi Mohd Nor dan jurukamera, Zulkifli Abu Samah.
Bingkisan khas dari Tanah Suci ini bakal disaksikan menerusi segmen yang amat dinantikan oleh kebanyakan waris iaitu segmen Dhuyufurrahman dan Khabar Tanah Suci.
Pengisian program kali ini turut mengupas perjalanan ibadah Haji bermula daripada persediaan awal hinggalah pada hari Wukuf dan lintas langsung perkembangan terbaharu jemaah Haji kita kepada keluarga di tanah air.

Justeru menjelang kemuncak ibadah haji iaitu pada Hari Wukuf, dua slot diperuntukkan. Slot pertama akan bersiaran pada pukul 6:00 petang hingga 7:44 malam manakala slot kedua pada malam hari raya AidilAdha bermula dari pukul 9:00 hingga 11:00 malam
Salam Baitullah kali ini menampilkan pengacara terkenal dan berkredibiliti iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Fakrul Razi (UNIC), manakala Farah Diana Anuar akan mengemudi segmen Media Sosial di Youtube dan Tik Tok. Salam Baitullah menampilkan barisan panel pendakwah terkemuka tanahair, berkongsi pengalaman, tip dan juga panduan kepada bakal haji.
Segmen istimewa iaitu ‘Rehlah Haramain’ yang dikendalikan oleh Imam Muda Megat Mohd Zaid akan memaparkan tempat-tempat menarik di Tanah Suci iaitu tempat bersejarah Nabawiyah, tempat-tempat menunaikan ibadah haji dan kawasan umum / khusus yang kurang dikunjungi oleh Jemaah.

Tahun ini, Olive House menjadi penaja utama (emas), Barakah Haji Pahang (perak) dan KRS Travel & Tours (gangsa). Manakala Mahabaten Travel & Tours pula menaja segmen Rehlah Haramain, Antara penaja lain ialah Hotel Mardhiyyah, Shah Alam dan Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Bukhoor – Saudagar Aiman, Sidah Catering Services Sdn Bhd dan DNS Kacang Putih Ipoh sebagai rakan strategik.
Penonton setia Salam Baitullah turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dalam kuiz terkumpul dan kuiz harian. KRS Travel & Tours menaja hadiah utama bagi kuiz terkumpul iaitu pakej umrah bagi empat pemenang dan wang tunai bagi pemenang kuiz harian.
Manakala bagi hadiah kuiz media sosial pula Olive House menawarkan 3 hadiah utama iaitu pakej umrah lengkap kepada peserta yang berjaya. Juga Bukhoor dan DNS Kacang Putih Ipoh turut menaja hadiah wang tunai kuiz media sosial.