May 23, 2024

KUALA LUMPUR : Serangan pandemik Covid-19  sejak dua tahun lalu telah meninggalkan impak yang besar buat warga dan karyawan muzik tanah air. 

Pelbagai acara muzik termasuklah pelancaran album, showcase, konsert, konsert jelajah dan anugerah muzik tidak dapat dilaksanakan sehingga menyebabkan pendapatan artis, pemuzik dan pekerja-pekerja di belakang tabir telah terjejas dengan begitu teruk sekali. 

Bagi membantu menggerakkan ekosistem industri muzik tanah air pada ketika itu, Mac Training Centre Sdn Bhd telah menerbitkan sebuah program hiburan secara maya berjudul ‘Salam Dari Maya’ pada tahun lalu. Ia turut mendapat sokongan dana daripada Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) dari sudut pemberian Dana Kandungan Digital (DKD). 

Program lima episod, Salam Dari Maya berkonsepkan showcase dan permintaan lagu daripada peminat secara visual ini menggandingkan dua penyanyi setiap episod dan masing-masing akan menampilkan tiga lagu solo dan sebuah lagu yang dinyanyikan secara duet. 

Salam Dari Maya pada tahun lalu menampilkan gandingan artis Datuk Jamal Abdillah & anaknya, Yamani, Ziana Zain dan Liza Hanim, Datuk Nora dan Siti Nordiana, Zamani dan Amir U.K’s serta Tomok dan Black. 

Rakaman Salam Dari Maya 2.0 di Zepp Kuala Lumpur

Atas permintaan ramai, Mac Training Centre Sdn Bhd kembali menerbitkan musim keduanya iaitu Salam Dari Maya 2.0.

Masih mengekalkan konsep yang sama, Salam Dari Maya 2.0 kali ini mengetengahkan seratus-peratus barisan artis dari era 80-an dan 90-an menerusi gandingan Bagio dan Rahmad Mega, Ramlah Ram dan Amelina, Amy Mastura dan Raja Ema, Ameng dan Jay Jay serta Muss dan Ruhil Amani. 

Penerbit Salam Dari Maya, Puan Samirah Hambali berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih dengan DKD dan KKMM kerana memberi peluang untuk menerbitkan Salam Dari Maya 2.0 iaitu sambungan  kepada Salam Dari Maya  yang sebelum ini telah diterbitkan untuk platform YouTube Muzik Malaysia KKMM pada tahun lepas. 

“Syukur, Alhamdulillah. Terima kasih buat rakan strategik, Zepp Kuala Lumpur dan F&N Marketing and Beverages serta semua artis yang  terlibat menjayakan projek. 

“Sedikit sebanyak projek ini membantu tenaga kerja kreatif di depan mahupun di belakang tabir untuk bangkit semula dan aktif dalam fasa endemik ini.

“Pada waktu yang sama, kita juga menyedari bahawa pentingnya hiburan muzik kepada masyarakat dan dalam situasi keadaan sekarang hiburan muzik sangat diperlukan untuk meredakan tekanan masyarakat akibat pandemik Covid-19,” katanya. 

Mengenai pemilihan artis, Samirah berkata, daripada maklum balas yang diterima, ramai meminta pihaknya untuk tampilkan artis-artis daripada era 80-an dan 90-an. 

“Kami percaya pemilihan barisan artis Salam Dari Maya 2.0 ini pasti akan menambahkan keterujaan peminat muzik tanah air nanti dan rakamannya pula telah dilakukan di Zepp Kuala Lumpur,” katanya. 

Program Salam Dari Maya 2.0 akan mula ditayangkan di platform YouTube: Mac Training Centre sepanjang 30 September sehingga 28 Oktober 2022, bermula jam 9.00 malam.

Episod pertama yang menampilkan persembahan penyanyi Ramlah Ram dan Amelina telah disiarkan pada 30 September lalu dan masih lagi boleh ditonton di Youtube Mac Training Centre.

Episod pertama menampilkan Ramlah Ram dan Amelina yang telah disiarkan pada 30 September lalu

Selain Ramlah dan Amelina, episod kedua menampilkan persembahan dari penyanyi rock tanahair Muss dan Ruhil Amani yang pasti ramai menantikan kemunculannya pada 7 Oktober ini jam 9.00 malam.

Episod ketiga menampilkan persembahan Amy Mastura dan Raja Emma pada 14 Oktober ini. Episod keempat menampilkan persembahan Ameng dan Jay Jay pada 21 Oktober dan episod kelima menampilkan persembahan Baggio dan Rahmad Mega pada 28 Oktober 2022. Kesemua episod akan ditayangkan di saluran Youtube Mac Training Centre pada jam 9.00 malam.

Episod seterusnya boleh ditonton di platform YouTube Mac Training Centre sepanjang Oktober ini

Program yang dikendalikan oleh Aril Pilus sebagai hos, berkonsepkan showcase dan permintaan lagu dalam bentuk visual, peminat-peminat telah diberi peluang untuk membuat permintaan lagu yang digemari daripada penyanyi idola mereka kepada pihak produksi. 

Pihak produksi pula akan menghubungi penyanyi-penyanyi tersebut untuk menjayakan program Salam Dari Maya 2.0. Rakaman video peminat-peminat turut ditayangkan sewaktu rakaman bersama penyanyi-penyanyi ini berlangsung.

Melalui cara ini, penyanyi-penyanyi hebat tanahair ini sebenarnya telah memberikan penghargaan buat peminat-peminat mereka yang selama ini telah menyokong kerjaya seni mereka dari awal pembabitan sehinggalah ke saat ini. 

Pihak produksi juga turut menggandingkan dua penyanyi dalam sebuah episod dan masing-masing membawakan tiga lagu solo mereka serta sebuah lagu yang dipersembahkan secara duet.

@kelkatutv

Salam Dari Maya 2.0 bersama Baggio 28 Oktober 2022 di youtube Mac Training Centre Sdn Bhd #fyp #fypage #salamdarimaya #damasutraumpamamimpidalammimpi

♬ original sound – kelkatu.tv – kelkatu.tv
SALAM DARI MAYA 2.0 EP01