Salam Perkenalan Ryzall Noh Buat Peminat Malaysia Menerusi “Darwish”

KUALA LUMPUR, 12 April 2025 – Nama Ryzall Noh mungkin belum segah penyanyi kelahiran Kota Singa yang lain di telinga peminat muzik Malaysia. Namun, usahlah terkejut andai namanya kelak menjadi sebutan ramai kerana bakat luar biasa yang dimilikinya bukan calang-calang.

Ryzall merupakan seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit muzik yang cukup versatil. Pernah menjadi vokalis kumpulan popular Audionauts sekitar tahun 2010 hingga 2017, kerjaya muziknya sudah pun terbukti apabila kumpulan itu meraih pelbagai pengiktirafan seperti:

  • Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013,
  • Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura,
  • Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015, dan
  • Kemenangan berulang dalam kategori Royalti Lagu Tertinggi di Anugerah Compass 2015.

Kini bergerak solo, Ryzall mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai figura penting dalam dunia muzik serantau dengan pelbagai kolaborasi berimpak tinggi. Namanya pernah bergandingan dengan tokoh-tokoh muzik seperti Ronnie Hussin, Almarhum Tony Spider, Rahila Rashun, Altimet, Moliano (Lovehunters), Maman (Teacher’s Pet), Addy Cradle, dan Dato’ Ramli Sarip.

Tidak hanya bergelar penyanyi, Ryzall juga aktif sebagai pelakon dan penerbit muzik yang sering bekerjasama dengan pelbagai artis serta badan kerajaan dalam projek seni dan produksi kreatif.

Ryzall Noh

“Darwish”: Lagu Cinta & Pencarian Jiwa

Antara karya terbaharu yang semakin mencuri perhatian ialah single berjudul “Darwish” – sebuah lagu yang telah pun diputarkan di stesen radio di Singapura, Malaysia, malah hingga ke Amerika Latin dan Sepanyol.

“Darwish adalah kisah tentang seseorang yang sanggup berkorban demi cinta. Tapi di sebalik makna cinta itu, terdapat kisah perjalanan jiwa – pencarian ketuhanan seperti dalam kisah-kisah sufi,” jelas Ryzall.

Lagu ini turut mendapat sentuhan penulis lirik tersohor, Hairul Anuar Harun, yang sebelum ini menghasilkan lirik lagu-lagu ikonik seperti Cindai, Hati Kama, Samrah Mentari dan Nirmala. Gabungan emosi, spiritual dan estetika menjadikan Darwish satu karya penuh jiwa.

“Sebagai komposer, saya melihat Darwish sebagai lambang harapan, pujian dan kekuatan cinta – biarpun tak terbalas, ia tetap membakar semangat,” tambahnya.

Bakat Kota Singa, Jiwa Nusantara

Kehadiran Ryzall di pentas seperti Popaholic di Esplanade, Singapura, dan keterlibatannya dalam projek pelbagai genre membuktikan versatiliti anak seni ini. Meskipun berasal dari seberang Tambak Johor, jiwanya jelas dekat dengan peminat muzik di Malaysia.

Peminat kini boleh menikmati karya-karya Ryzall seperti “Darwish”, “Tak Seindah Kata” dan “Sebuah Cinta” menerusi platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music.

Ryzall juga aktif berkongsi perjalanan seninya di Instagram, TikTok dan YouTube, sekaligus membuka lebih ruang buat peminat mengenali sisi peribadi serta profesional dirinya.

Dengan bakat yang tulen dan karya yang menyentuh rasa, Ryzall Noh kini bersedia mengorak langkah lebih besar di pentas muzik Malaysia – memperkenalkan dirinya bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi seorang pencerita jiwa dan pencinta seni.