July 18, 2024

Kumpulan rock popular tanah air, XPDC Kita Peng-Yu bersyukur apabila mereka sentiasa menjadi rebutan promoter konsert mahupun penganjur karnival perniagaan. Ini terbukti setiap minggu XPDC sentiasa mendapat undangan untuk mengadakan persembahan di tapak karnival yang kebanyakannya terdiri dari peniaga-peniaga Melayu.

Menurut pemain bass XPDC, Zuar atau Azuar Md Tasi, persembahan di tapak karnival berbeza dengan persembahan untuk sebuah konsert. Tujuan utama mereka adalah untuk membantu peniaga-peniaga ini dengan menarik pengunjung supaya dapat memberi sokongan kepada peniaga yang membuka tapak jualan di karnival dengan mengadakan show yang sedemikian.

“Show di karnival ni tak sama dengan konsert. Kita nak menolong peniaga-peniaga, kalau mereka tak panggil artis, orang tak datang. Dari segi harga bayaran memang berbeza kita bagi less, sebab kita nak bantu mereka nak bantu orang ramai datang, perniagaan mereka pun laku. Kalau konsert bertiket kita deal lain, kalau macam ni show percuma, kita main lagu pun santai je, nak layan crowd.” Katanya.

Di zaman pembabitan awal XPDC dalam industri, mereka sering membuat persembahan di funfair sehinggakan mereka telah digelar sebagai Raja Funfair oleh para peminat namun kini XPDC beralih ke tapak karnival meskipun jarang untuk mengadakan konsert berskala besar.

“Pada kami muzik dah jadi kita punya pekerjaan. Kalau kita tunggu setahun sekali nak buat konsert, macam mana nak makan. Jadi kita buat muzik ini macam bekerja. Dulu main funfair sekarang kita main karnival, jadi kita bukan bukan Raja Funfair dah tapi Raja Karnival pula.”

Selain Zuar, XPDC Kita Peng-Yu dibarisi oleh Jeff (pemain gitar), Amy (pemain dram) dan Ary (vokalis) yang telah menggantikan tempat Allahyarham Mael. Keserasian Ary bersama anggota XPDC yang lain telahpun wujud sebelum Arwah Mael menghembuskan nafas terakhir lagi.

Menurut Zuar lagi, “ketika Mael masih bersama dengan XPDC lagi, Ary antara vokalis yang akan menggantikan tempat Mael apabila dia tidak sihat. Ary dengan kita memang dah lama jadi keserasian tu memang dah ada daripada dulu.”

Zuar menjelaskan persembahan XPDC di karnival bukan sahaja membantu meningkatkan jualan peniaga tetapi XPDC juga menyediakan tabung dimana pengunjung boleh menderma dengan seikhlas hati untuk membantu rakan-rakan artis yang kurang bernasib baik.

“Bila kami adakan show percuma seperti ini, kami buat kutipan tabung prihatin dengan menderma seikhlas hati. Tabung itu kita akan serahkan pada kawan-kawan kita yang tidak bernasib baik. Kami tak ambil duit tu malah kami pun turut menderma juga dan kami akan agihkan kepada yang berhak.

“Ramai artis-artis yang sudah kita bantu ianya bermula dengan Arwah Yazid Search dahulu. Saya memang tak pernah tunjukkan bantuan atau derma yang kita berikan tetapi disebabkan saya takut orang akan pertikaikan, saya terpaksa pamerkan di media sosial. Mungkin nanti orang akan bertanya ke mana duit derma itu disalurkan, jadi saya tunjukkan juga segala bentuk bantuan di media sosial.” Katanya lagi.

Dalam pada itu, kumpulan yang popular dengan lagu Nafisa, Hentian ini, Apa Nak Di Kata dan banyak lagi telah pun merancang untuk mengeluarkan single lagu baharu bersama Ary.

“Sekarang kita tengah hasilkan single bersama Ary, masih mengekalkan muzik rock tetapi dari segi bunyi mungkin berbeza dengan XPDC mahupun Fahrenheit.” Katanya.

Konsert sempena sambutan Tahun Baharu 2024 yang diadakan di Saratok Sarawak