31 Disember 2024 bakal menjadi detik yang tidak dapat dilupakan dengan sambutan tahun baru penuh gemilang di acara “Countdown to 2025 Suria x The Curve”.
Acara istimewa ini akan berlangsung di Piazza, The Curve, bermula seawal jam 9 pagi pada hari Selasa. Menariknya, acara ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 pusat beli-belah terkenal itu.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, acara ini bukan sekadar menyambut ketibaan tahun 2025, tetapi turut menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung dari semua peringkat usia.
“Antara tarikan utama adalah Food Festival yang menawarkan pelbagai juadah viral dan popular, termasuk Suka Dessert, Sushika, Ayaq Gantung, Gulacakery, dan banyak lagi. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi Body Combat bersama Fitness First serta menikmati pertunjukan bunga api yang memukau,” kata DJ Lin.
Tidak hanya itu, acara ini turut memberikan peluang kepada peminat untuk beramah mesra dengan penyampai-penyampai Suria FM seperti Dato’ Fizz Fairuz, Suraya Borhan, Chiwan, Kai, dan DJ Lin sendiri. Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan luar biasa daripada barisan artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Iman Troye, Black Hanifah, Ruffedge, Kristal X, Atilia Haron, Suki Low, Ezra Kairo, dan ramai lagi.
Acara ini dijangka menjadi salah satu sambutan tahun baru terbesar di Lembah Klang, menggabungkan hiburan, makanan, dan aktiviti menarik di bawah satu bumbung.
Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama menyambut detik istimewa ini! Countdown to 2025 Suria x The Curve menjanjikan pengalaman yang pasti meninggalkan kenangan indah buat semua. Jumpa anda di sana!