Sambutan Luar Biasa, Konsert Kasih Kekasih Inteam Berpindah Ke Lokasi Lebih Besar

BANDAR SRI DAMANSARA, 27 Mei 2025 – Sambutan luar jangkaan terhadap Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun oleh kumpulan nasyid tersohor, Inteam, telah mendorong pihak penganjur memindahkan lokasi konsert ke venue lebih besar, IdeaLive Arena, Petaling Jaya. Tarikh konsert turut ditukar daripada 27 September kepada 28 September 2025 bagi menyesuaikan dengan kekosongan lokasi baharu tersebut.

Dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini, wakil Inteam menyatakan rasa terharu atas sokongan luar biasa peminat apabila tiket konsert di venue asal habis dijual hanya dalam tempoh dua jam selepas pelancarannya pada 22 Mei lalu.

“Kami tidak menjangka sambutan sehebat ini. Lebih 84,000 pengguna mengakses platform jualan dalam satu masa, dengan permintaan mencecah 190,000 tiket, walaupun kami hanya menyediakan 1,500 tiket pada awalnya,” ujar Hazamin, salah seorang anggota kumpulan Inteam.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan untuk mengadakan konsert selama dua malam di lokasi asal tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan jadual kumpulan itu. Sebagai alternatif, pihak penganjur memilih IdeaLive Arena yang berkapasiti sehingga 5,000 penonton, demi menampung permintaan tinggi dan mengelakkan kekecewaan peminat.

Peminat yang telah membeli tiket terdahulu tidak perlu gusar kerana mereka akan diberikan tempat duduk eksklusif di zon masing-masing serta dihubungi untuk pengesahan tempat duduk dan perubahan tarikh. Mereka turut akan menerima hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair, sebagai penghargaan atas sokongan awal.

Viral di TikTok, Tarikan Luar Jangka

Menurut Syahril, seorang lagi anggota Inteam, fenomena viral di TikTok menjadi antara faktor utama lonjakan minat terhadap konsert ini, bahkan menarik minat bukan sahaja peminat nasyid, malah peminat muzik K-pop.

“Kami yakin untuk menganjurkan konsert ini bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun Inteam. Walaupun dahulu pernah menganjurkan konsert ulang tahun ke-20 secara dalam talian ketika tempoh PKP, kali ini sambutannya benar-benar luar biasa,” ujar beliau.

Tiket Baharu Dijual 14 Jun

Jualan tiket baharu akan dibuka pada 14 Jun 2025 (Sabtu) melalui platform Ticket Empire, yang boleh diakses di laman rasmi: www.kasihkekasih.com.

Konsert yang dijangka akan menjadi detik bersejarah itu bakal menampilkan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia, selain persembahan istimewa oleh anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.

Penaja & Sokongan Media

Inteam turut merakamkan penghargaan kepada MINAZ Sdn Bhd sebagai penaja utama, serta stesen radio Zayan, Era, Sinar dan Gegar sebagai radio rasmi. Pihak Aplikasi Khair, di mana Inteam merupakan duta rasmi, juga disanjung atas kerjasama berterusan dalam pelbagai projek termasuk Kembara Selawat ke luar negara.

Peluang penajaan dan kerjasama masih dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin turut serta menjayakan konsert ini, termasuk dalam Jelajah Konsert Kasih Kekasih Malaysia yang sedang dalam perancangan untuk ke Pantai Timur, Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak.

Inteam turut menitipkan pesanan kepada peminat yang terlepas membeli tiket:

“Jangan risau, Insya-Allah kita akan bertemu dalam konsert jelajah pula nanti.”