January 14, 2025

KUALA LUMPUR, 3 Januari 2025 – Kumpulan legenda KRU kembali menggegarkan industri hiburan tanah air dengan penganjuran Konsert GenKRU selama tiga malam, berikutan sambutan luar biasa peminat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan mereka.

Konsert yang pada awalnya dijadualkan untuk satu malam sahaja kini dilanjutkan ke tiga malam, berlangsung pada 3, 4, dan 10 Mei 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Keputusan ini meletakkan KRU sebagai kumpulan tempatan pertama yang menganjurkan konsert berturut-turut selama tiga hari dalam satu musim, mencipta sejarah tersendiri.

Ikon muzik tanah air terus unggul

Sejak ditubuhkan pada 1992, KRU – dianggotai Dato’ Norman, Datuk Yusry, dan Edry – terus kekal relevan sebagai ikon muzik tanah air yang mencetuskan gelombang baharu dalam industri. Tiket bagi malam pertama dan kedua Konsert GenKRU habis dijual dalam masa kurang daripada satu jam, membuktikan populariti mereka masih utuh selepas tiga dekad.

Menurut penganjur, Icon Entertainment, keputusan menambah malam ketiga adalah hasil permintaan tinggi daripada peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket.

Iman Tang

“Ini bukan soal keuntungan. Keputusan ini adalah penghargaan kami kepada peminat yang telah menyokong KRU sejak dulu lagi. Ia juga satu bukti bahawa artis tempatan mampu mengadakan konsert berskala besar selama tiga malam berturut-turut,” ujar pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Ketika sidang media di Hotel Mandarin Oriental petang tadi, Dato’ Norman turut berkongsi rasa emosinya terhadap konsert ini.

“Ia bukan lagi soal kami, tapi soal peminat. Konsert ini untuk mereka. Tahun ini sudah tiga dekad kami bersama, sampai bila lagi kami mampu buat? Selagi kami boleh, kami mahu memberikan mereka momen terindah, mengembalikan kenangan era 90-an,” katanya penuh semangat.

Kemunculan semula selepas enam tahun

Konsert GenKRU juga menandakan kemunculan semula KRU selepas enam tahun menyepi daripada pentas besar. Kali terakhir mereka mengadakan konsert adalah Konsert GenerasiKRU25 pada 2018 di Istana Budaya.

Konsert ini dijangka menjadi acara paling dinanti pada tahun 2025, menampilkan persembahan epik selama tiga malam di Axiata Arena bermula jam 8.30 malam.

Harga tiket dan tarikh penjualan

Tiket untuk Konsert GenKRU boleh didapati melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my/kru3. Harga tiket bermula dari RM258 (kategori reKRUed), RM358 (canggih), RM478 (relax), RM508 (kaset), RM548 (krujaan), hingga RM588 (krunisme).

Pra-jualan khas untuk pemegang kad Maybank dibuka pada 7 Januari 2025, bermula jam 11 pagi, manakala jualan umum bermula pada 8 Januari 2025, jam 3 petang.

Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, kerana Konsert GenKRU bakal membawa peminat kembali ke era kegemilangan muzik KRU!