December 4, 2023

KUALA LUMPUR : Label penganjur acara kian popular, YOLO Malaysia sekali lagi berjaya menghiburkan lebih kurang 2,500 peminat tegar band rock terkenal dari Indonesia, Noah dalam sebuah konsert memukau dan penuh bertenaga, ‘NOAH Live in KL’ malam semalam, bertempat di dewan serba moden, Zepp Kuala Lumpur.

Sejak petang semalam lagi peminat Noah telah berbaris panjang sehingga ke luar pusat membeli belah Lala Port sebelum dibenarkan memasuki ruang konsert tersebut. Sambutan luar biasa yang diberikan peminat membuatkan Ariel selaku vokalis utama Noah menghadiahkan persembahan bertenaga meskipun mengalami masalah kesihatan sehingga membuatkan suaranya lebih serak berbanding biasa.

“Syukur kerana segala-galanya telah berjalan dengan lancar, hampir 2,500 pengunjung hadir memenuhi ruang konsert bagi menonton persembahan memukau daripada band rock paling popular negara seberang, Noah, dan rata-rata pembeli tiket mengatakan mereka amat berpuas hati dapat menyaksikan bintang rock kesayangan membuat persembahan secara ‘live’.

“Noah turut meluahkan rasa terharu mereka kerana ruangan konsert yang ternyata ‘sold-out’, dengan sistem bunyi yang mantap serta penonton yang ‘happening’ menyanyikan bersama lagu-lagu yang dibawakan,” jelas Hamka Mohd Taufik, selaku Penerbit Kreatif YOLO Malaysia.

Ariel begitu teruja bertemu peminat di Malaysia

Tepat pukul 8.45 malam, Noah yang dianggotai oleh Ariel, David (keyboard) dan Lukman (gitar) itu membuka tirai persembahan dengan lagu Separuh Aku.

“Malam ini tiada siapa yang tertinggal kerana semua adalah sebahagian daripada konsert ini,” ujar Ariel memulakan bicara.

Noah begitu gembira kerana dapat mengadakan konsert di Kuala Lumpur setelah hampir lima tahun tidak mengadakan persembahan di sini.

Noah mempersembahkan lagu-lagu hit dari awal penubuhan band tersebut sekitar sedekad yang lalu, antaranya Menghapus Jejakmu, ada apa dengan mu, topeng, Wanita, Bintang Di Surga dan Mungkin Nanti.

Seramai 3 orang pemuzik profesional turut mengiringi persembahan Noah dengan kejutan istimewa untuk pengunjung yang berupa ‘Concert Kit’ buat setiap pembeli tiket.

Menurut Ib Harun, Pengasas YOLO Asia, “Setiap pengunjung yang hadir telah diberikan sebuah ‘led wrist-band’ atau gelang tangan led sebelum memasuki dewan konsert dan apabila pembeli mengenakannya, lampu led di gelang tangan akan menyala mengikuti ritma tempo muzik yang dibawakan ketika konsert berlangsung.

Lukman dan David memberikan persembahan yang terbaik

“Ini merupakan kali pertama seumpamanya gajet sebegini digunakan di Malaysia dalam konsert bernuansa Melayu dan kesemua pengunjung terhibur dengan perubahan warna ‘wrist-band’ tersebut disamping menambah keseronokan pada atmosfera di dalam dewan konsert, selain itu pembeli juga turut menerima sekeping kad bersaiz Touch ‘n Go dengan paparan band Noah sebagai kenang-kenangan.

Tambah Haniff Hamzah, selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, “Kesemua pengunjung yang hadir memberikan respon yang sangat positif dan menyatakan kerinduan mereka terubat setelah melihat Noah membuat persembahan tanpa henti selama 90 minit.

Sepanjang persembahan berlangsung, 16 buah lagu telah selesai dinyanyikan oleh Ariel bersama penonton sehingga tidak terasa mereka sudah di penghujung waktu.

“Di penghujung waktu, sehingga kita tidak terasa sudah menyanyi 25 buah lagu,” gurau Ariel kepada penonton.

Ariel juga memberitahu kepada penonton bahawa Noah akan kembali semula ke Malaysia pada tahun depan dengan skala konsert yang lebih besar.

“Semoga tahun depan kita bertemu lagi dalam sebuah acara sebegini dan lokasinya lebih besar,” ucapnya dan seterusnya mengakhiri konsert dengan lagu penutup, Walau Habis Terang.

Ariel menutup tirai dengan mengumumkan Noah akan kembali ke Malaysia untuk tahun depan

Menurut Ib Harun, beliau amat berterima kasih dan menghargai penonton yang hadir untuk menyaksikan konsert Noah yang telah berlangsung semalam.

“Terima kasih terhadap kesemua pembeli tiket yang telah menonton ‘NOAH Live in KL’ dan merasai sendiri pengalaman berbeza seperti apa yang telah kami rancangkan. 

“Semoga pengunjung konsert pada masa akan datang terus memberikan kepercayaan penuh terhadap YOLO Malaysia dimana kami menjanjikan aksi-aksi muzikal menakjubkan dan memukau pada setiap konsert.” Katanya.

Sebagai makluman, buat sesiapa yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan tiket konsert anjuran YOLO Malaysia pada masa akan datang, jangan lupa untuk melakukan pra-pendaftaran di laman web www.yoloasia.com serta pembeli masa hadapan disarankan mengikuti kesemua platform media sosial YOLO Malaysia bagi mendapatkan maklumat yang terkini.

Persembahan yang memukau 2,500 peminat tegar Noah