November 13, 2024

KUALA LUMPUR – Bintang tersohor tanah air, Aina Abdul telah mengadakan sebuah konsert bagi meraikan peminatnya di Dewan Tunku Censelor, Universiti Malaya (UM), Sabtu lalu.

Aina yang terkenal dengan pemakaian fesyen yang dianggap ‘pelik’ dan mencetuskan kontroversi, tampil dengan busana ringkas dan menawan memukau lebih 2,000 penonton yang hadir menyaksikan ‘A Night With Aina Abdul’.

Menurut Aina, konsert seperti ini akan diteruskan ke universiti-universiti yang terpilih. Keseluruhan tiket habis dijual menyebabkan pihak penganjur mengambil langkah untuk menambah jualan tiket tambahan. Konsert ‘A Night With Aina Abdul’ ini bukan sahaja dikhususkan untuk peminatnya yang bergelar pelajar sahaja tetapi dibuka untuk peminat luar juga.

Di malam konsert tersebut Aina membawakan 10 buah lagu dimulakan dengan lagu berjudul Ghost sambil diiringi penglibatan pelajar UM sebagai penari latar.

Aina yang mengenakan busana berwarna hijau meneruskan persembahan menerusi lagu-lagu Inggeris berjudul Reminiscing / I lost me / Blue. Seterusnya lagu Shadow dipersembahkan sebelum dia melanjutkan dengan lagu medley Indonesia (Tak Ingin Usai, Sisa Rasa, Hijrah Cinta, Sang Dewi).

Seusai selesai di set yang pertama, Aina yang muncul semula ke atas pentas dengan penuh anggun berbusana berwarna biru meneruskan persembahannya menerusi lagu Puas Sudah.

Kehebatan vokal Aina tidak boleh disangkal lagi apabila dia melontarkan kepaduan suaranya menerusi lagu Sumpah sebuah lagu yang pernah melonjakkan namanya di persada dunia muzik. Seluruh dewan bergema dengan suara penonton yang seakan melepaskan ‘geram’ turut bersama Aina menyanyikan lagu tersebut.

Aina di konsert ‘A Night With Aina Abdul’

Aina dilihat bijak berbicara dengan penonton sebelum dia meneruskan dengan lagu berjudul Semalam dan Sepi. Sekali lagi Aina mengajak penonton bersama-samanya untuk menyanyikan lagu Terus Hidup yang mengakhiri persembahan pada malam yang cukup bermakna buat peminat Aina Abdul.

Aina bersama pemuzik pengiring