December 4, 2024

KUALA SELANGOR: Kehadiran Kumpulan Scorr dalam industri seni suara tanah air sangat mendapat perhatian pada awal kemunculan mereka pada penghujung 90an. Dengan terlahirnya album pertama ‘Tanya Sama Hati’ pada tahun 2000 telah menjadi sebutan dan telah menarik peminat untuk lebih mengenali mereka, manakan tidak lagu mereka Bila Hati Dah Sayang dan Hari-hari Aku Rindu mula mendapat tempat dicorong-corong radio tanah air. Kedua-duanya merupakan antara lagu hits di pusat-pusat karaoke yang menjadi antara pilihan peminat lagu-lagu karaoke.

Tambahan pula lagu Bila Hati Dah Sayang telah dinyanyikan semula oleh Harry Khalifah atau Apak yang mendapat lebih sejuta tontonan di Youtube menjadikan nama Scorr mula diingati semula dan secara tidak langsung membantu perjalanan seni kumpulan Scorr.

Scorr berharap single Bidadari Mimpi diterima ramai peminat

Scorr yang dianggotai oleh Aley (Basis), Ayun (Dram), Aedy (Gitar Utama),Ary (Gitar Kedua) yang merupakan anggota asal Scorr namun mereka menggunakan khidmat Faizul sebagai penyanyi terbaharu mereka.

kini Scorr kembali bersama karya terbaharu berjudul Bidadari Mimpi yang telah dilancarkan pada bulan Disember lalu di saluran Youtube dan telah mula mendapat capaian dengan tontonan sebanyak 12,250 tontonan.

Menurut Aley, Scorr masih lagi wujud dalam industri dan sentiasa aktif berkarya untuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

Bidadari Mimpi adalah merupakan single kelima yang telah kami hasilkan, mungkin ramai peminat di luar sana yang tidak mengetahui kewujudan single-single sebelum ini. Namun inilah bukti dan hasil kerja kuat kami demi memastikan jenama Scorr itu terus wujud.

“Semua kerja untuk single ini, bermula daripada melodi hinggalah proses mastering dan pengakhiran produk
adalah hasil usaha kami sendiri. Lebih membanggakan kami, ianya di lakukan di studio milik kami iaitu Scorr Entertainment. Tidak seperti single-single sebelum ini, di mana ianya menjalani proses rakaman di pelbagai lokasi.” Katanya.

Scorr ketika ditemui media di studio Scorr Entertainment

Bagi vokalis baharu Scorr, Faizul, beliau seakan sudah sebati dengan muzik yang didambakan oleh Scorr selama ini. Halangan dan tekanan sewaktu proses rakaman single ini ditempuhi dengan tenang.

Kembalilah Kasih, Pena (2018), Joget Di Hari Raya (2019), Suara (2019) adalah merupakan single lagu yang telah di riliskan oleh Scorr. Lagu Pena pula telah dirakamkan studio ST12, Bandung, Indonesia.

“Keterujaan kami merakamkan single-single tersebut di lokasi berlainan adalah untuk mencari pengalaman disamping mendapatkan input baru yang boleh di aplikasikan di Scorr Entertainment,” tambahnya lagi.

Bidadari Mimpi ternyata memberi ruang dan peluang kepada Scorr untuk berkarya dengan bebas tanpa kokongan. Demi memenuhi selera khalayak yang mengenali Scorr menerusi lagu-lagu yang bernuansakan balada rock, maka mereka kembali mengekalkan imej tersebut menerusi lagu ini.

Majlis Pelancaran single Bidadari Mimpi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Juwairiya Zulkifli

Majlis Pelancaran single Bidadari Mimpi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Juwairiya Zulkifli selaku ADUN Bukit Melawati pada 25 Januari lalu di Scorr Entertainment, Kuala Selangor.

Bidadari Mimpi bergenre Balada Rock adalah hasil gubahan dan lirik oleh Adnan Sorek dan muzik disusun oleh Scorr sendiri. Bidadari Mimpi merupakan pengharapan seorang jejaka agar gadis yang diimpikan hadir kedalam hidupnya disaat hidupnya dalam kedukaan, dengan kehadiran yang dinanti dapat merubah segalanya dan hidupnya kembali bersinar.

Kepada peminat Scorr yang ingin mendapatkan informasi aktiviti Kumpulan Scorr boleh mengikuti Kumpulan Scorr di sosial media Scorr Entertainment di Instragram, Scorr Entertainment di tiktok dan Scorr Comeback Official di facebook.

SCORR – Bidadari Mimpi ( Official Music Video )