
GENTING HIGHLANDS – Search melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi Kumpulan rock tanah air yang pertama mengadakan konsert di Arena of Stars, Resort World Genting pada 12 Ogos lalu. Meskipun bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tarikh yang sama, Konsert Search Fantasia Bulan Salju tetap mendapat sambutan hangat dari peminat yang sentiasa menyokong selama lebih 40 tahun bertahan dalam industri muzik.
Meskipun dalam keadaan cuaca yang sejuk, konsert anjuran MIC Entertainment Group itu berjaya menarik 4000 peminat setia kumpulan yang cukup popular dengan lagu-lagu slow rock seperti Isabella, Rozana, Gadisku dan sebagainya.

Ini telah terbukti apabila kewibawaan jenama ‘Search’ yang ditunjangi oleh Amy (vokal), Hillary Ang (gitar), Nasir (bass) dan Man Keedal (gitar) masih kuat malah kekal relevan sehingga hari ini.
Tepat jam 8.45 malam bermulalah pentas konsert Search Fantasia Bulan Salju yang terlebih dahulu disajikan dengan mukadimah muzik padang pasir bagi menggambarkan ‘pengembaraan’ Search bersama peminat.
‘Bencana’ menjadi penanda aras untuk menyatukan jiwa peminat agar terus ‘di paku’ hingga ke lagu terakhir. Set pertama juga seakan menguji keupayaan Arthur Kam yang berada di posisi dram menggalas tugas yang diamanahkan.

Antusias penonton dapat dilihat apabila lagu Derap Komando dipersembahkan dan tanpa banyak bicara Search terus memukau khalayak menerusi Langit dan Bumi. Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih mesra dengan Amy tampil dengan suit berwarna merah yang tampak cukup bergaya, ‘versatile’ malah lebih bertenaga meskipun usianya sudah menginjak 65 tahun.
“Asssalammualaikum dan terima kasih kerana sudi hadir ke konsert yang cukup bersejarah buat kami dan pastinya buat anda semua. Sama-samalah kita berimaginasi dalam pengembaraan Search Fantasia Bulan Salju”, sapa Amy kepada peminat.

Menawan Raga dan Gelora Cintaku kemudiannya dipersembahkan sekaligus membawa imaginasi penonton berkeliaran ke dalam dunia ciptaan Search.
“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada 500 orang yang telah menjadi pilihan penganjur untuk menerima tiket percuma, kami menghargai tanggungjawab anda selaku pengundi..anda layak menerimanya”, ujar Amy lagi.
Ruang konsert kemudiannya bergema dengan lagu Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu yang memaksa peminat untuk bernyanyi bersama. Inilah ‘istimewa’nya Search yang cukup bijak bermain dengan situasi dan perasaan. Lebih menarik apabila ‘salju’ mula bergentayangan menyelimuti khalayak.

Bersesuaian dengan tema konsert, Search bijak dalam pemilihan lagu-lagu ‘slow rock’ untuk dimasukkan dalam set list antaranya Rozana, Laila Namamu Teratas dan Nigina. Sekali lagi gemaan vokal hadirin bersatu dengan vokal Amy. Peminat yang hadir rata-ratanya sudah cukup bersedia dengan seleksi lagu-lagu Search yang sentiasa meniti di bibir.
“Lagu ini tiada dalam mana-mana album Search, tetapi Hillary cukup meminati lagu ini..jadi saya terpaksa tunaikan, terimalah Tiada Lagi”, terang Amy.
Tidak perlu lagu yang berentak keras untuk terus ‘memaku’ penonton. Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku dan Kejora pula dipersembahkan secara medley. Inilah pengembaraan baru yang diterjemahkan Search menerusi konsert Fantasia Bulan Salju.

Isabella antara lagu ‘wajib’ yang harus dipersembahkan kerana lagu ini juga menjadi antara judul filem yang turut membariskan Search dan Amy khasnya sebagai teraju utama filem cinta dari Indonesia yang ditayangkan pada tahun 1990.
Set yang cukup ‘keras’ memberi ‘kejutan’ buat Naimi Daini, namun gadis yang berusia 17 tahun ini cukup konsisten dengan ‘dram’ yang menjadi ‘nyawa’nya. Kemunculan Naimi pastinya menjadi tumpuan peminat Search meskipun ini adalah konsert berskala besar kedua buatnya selepas Nusafest.
Diari Habil dan Qabil, Yin dan Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi kibord komited dengan instrument masing-masing.

Tidak perlu dipertikaikan mahupun diperlekehkan setiap susuk tubuh yang berada di atas pentas boleh diibaratkan bagai ‘tentera’ yang sedang berjuang demi memastikan ‘kemenangan’ yang sudah tentu menjadi momen indah buat khalayak.
Inilah Search yang sudah dimiliki ‘hatinya’ oleh peminat yang rata-rata sudah berusia 40an, 50an dan 60an. Tidak perlu aksi ‘luar biasa’ namun mereka punya kredibiliti, energi yang cukup pesona sepertimana Rolling Stones, Pink Floyd dan seangkatan dengannya yang punyai aura tersendiri.
Corak permainan Naimi diuji oleh Nasir menerusi sekmen solo dram dan bass. Konsisten, kelajuan jemari dan double padle silih berganti, ketukkan dan hentakkan yang memberi gemaan muzik yang bermelodi akhirnya bersatu menjadi lagu.
Usai ‘pertempuran’, Cakap Memang Murah, Fenomena, Paranoid, Isi atau Kulit dan Pelesit Kota antara lagu yang menghiasi ‘encore’ konsert Search Fantasia Bulan Salju.
Situasi sedikit tegang apabila seorang peminat bertindak memeluk Amy ketika beliau menyampaikan lagu Pelesit Kota, namun semuanya terkawal apabila pihak keselamatan mengambil tindakan drastik tanpa menyakiti peminat tersebut.

Tirai konsert dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena sekaligus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara konsert berperstij selain menghangatkan suasana kesejukan di tanah tinggi Genting Highlands.
Sistem bunyi yang cukup ‘mesra’ telinga itu disemarakkan dengan penataan lampu yang cukup indah pandangan mata melenyapkan rasa lamanya konsert yang berdurasi 180 minit itu apatah lagi dengan lagu-lagu malar segar yang dipersembahkan. Konsert Fantasia Bulan Salju adalah revolusi dan empayar Search.
