December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Garapan cerita tanggungjawab terakhir seorang ayah untuk menjadi wali kepada anak perempuannya menghidupkan plot kisah telemovie bertajuk “Sebelum Sesuatu” terbitan Unit Drama TV RTM mewarnai slot Panggung RTM.

Menampilkan pelakon berpengalaman Bohari Ibrahim sebagai Ahdiyat, Ika Nabila (Nisa), Johan As’ari (Nadim), Amirul Affendi (Sofian), Khai Sabri (Harith), Fazlina Ahmad Daud (Hajah Aishah), dan Ashraf Muslim (Doktor Amran).

Sebuah naskhah Azrie Izham Hamzah dengan arahan Danny Alamsyah ini menemui penonton pada 22 Jun ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik. 

Melalui kisah ini, anda akan menyaksikan perjalanan watak Ahdiyat merupakan seorang bapa yang telah kematian isteri dan sangat menyayangi anak kandungnya, Nisa. Dia menetap di kampung bersama dengan seorang pemuda yatim piatu yang dianggapnya seperti anak sendiri iaitu Sofian. Nisa, anak gadisnya yang manja bakal berkahwin dengan pemuda bernama Nadim. 

Suatu hari, sewaktu pertemuan di antara dua keluarga, ayahnya berperangai pelik dan berkelakuan seperti tidak siuman membuatkan Nisa malu di hadapan Nadim dan ibunya. Nisa meminta penjelasan di atas kelakuan Ahdiyat namun ayahnya itu terus berdiam diam seolah-olah tiada apa perkara buruk yang telah berlaku. 

Salah faham Nisa kepada Ahdiyat semakin teruk apabila dia sebagai wali tidak munculkan diri dan hilang sepanjang urusan persediaan perkahwinan Nisa membuatkannya mula bencikan ayahnya. 

Nadim mula mengesyaki Ahdiyat menyembunyikan sesuatu kerana kepelikan tinkah lakunya, namun usahanya mengorek rahsia Ahdiyat digagalkan oleh Sofian menyebabkan berlaku konflik di antara mereka berdua. Sementara itu, keretakan hubungan antara Nisa dengan Ahdiyat menyebabkannya mula percaya akan syak wasangka Nadim terhadap Sofian. 

Pada Nisa, Ahdiyat adalah bapa yang sengaja menjatuhkan air mukanya di hadapan keluarga Nadim kerana tidak merestui perkahwinannya. 

Pada Nadim, Ahdiyat bakal bapa mentuanya itu telah dipergunakan oleh Sofian. Dia yakin Ahdiyat begitu kerana Sofian mempunyai niat buruk terhadap Nisa dan dirinya.

Manakala Sofian pula menganggap Sofian bapa angkatnya yang perlu dilindungi rahsianya agar keinginannya terlaksana. Dan pada Ahdiyat, dia perlu melawan Alzheimer yang mungkin menjadi penghalang kepada hasratnya menjadi wali… demi tanggungjawabnya yang mungkin terakhir kali sebagai bapa kepada Nisa sebelum memorinya hilang sepenuhnya.