May 21, 2024

KUALA LUMPUR – Dunia hip hop tempatan terus meraih perhatian pencinta muzik tanah air terutama dalam kalangan generasi muda. Tidak terkecuali memeriahkan genre ini adalah bintang hip hop yang kian mencipta nama, ASYRAF NASIR.

Dia yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan hip hop, RapStar anjuran stesen radio Era, ASYRAF NASIR berjaya mencuri perhatian penggemar muzik tempatan dengan beberapa lagu dan projek kolaborasi.

Selepas muncul dengan single 2PAI (2021) dan Hati Terbaik (2022), ASYRAF NASIR kini mempertaruhkan sebuah karya yang dijangka akan mengukuhkan lagi nama serta kedudukannya dalam industri iaitu lagu berjudul SEE MY LEVEL.

ASYRAF NASIR berkata, lagu hasil ciptaan Shazee Ishak itu mampu menjadi sebuah ‘lagu tema’ untuk setiap orang yang sudah bertungkus lumus untuk mencapai tahap yang tinggi dalam perjalanan hidup mereka.

Asyraf Nasir

“Lagu SEE MY LEVEL adalah lagu untuk mereka yang ada ‘standard’ yang tinggi, seperti tagline yang dipopularkan oleh Diva AA (Azwan Ali). Kami iaitu saya, Shazee, dan Kowachee bersemuka di dalam studio untuk lebih mengenali apakah perkara yang dialami oleh seorang 13 tahun pada zaman sekarang.

“Di era digital ini mungkin orang zaman sekarang lebih matang dan cepat memahami mengenai pelbagai perkara. Satu benda yang saya sedar, Kowachee sangatlah matang bagi umur dia. Macam bersembang dengan orang 20 tahun. Tapi antara perkara yang kita faham sebagai seorang insan yang dah lama dan muda dalam industri hiburan ini, ada masa yang dia rasa tak boleh nak masuk sama pemikiran dengan mereka yang sama umur dengannya.

“’Susah betul nak relate’ adalah kata-kata yang pertama dikeluarkan ketika lagu ini ditulis dan memang padan kenyataan ini dimulakan dalam lagu,” katanya.

Biarpun masih usia remaja, ASYRAF NASIR menyifatkan Kowachee seorang penyanyi yang cepat yang ‘tangkap’.

“Kowachee orang yang cepat tangkap. Sebagai orang baru kiranya dalam bidang rap, dia ni memang faham mengenai penyampaian dan ‘flow’ dalam rap. Kadang-kadang orang dewasa pun tak dapat nak capai pemahaman yang cekap seperti itu.

“Proses rakaman agak seronok sebab penerbit, Shazee seorang yang suka membawa keluar yang terbaik dalam setiap penyanyi, jadi dia memang berkali-kali mintak kita rakam semula. Bagi saya ia bagus, sebab kita cakap mengenai ‘level’ atasan yang berkualiti, maka ia perlu dilihat dalam hasil kita juga,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman bekerjasama dengan semua pihak yang menjayakan lagu dan video muzik SEE MY LEVEL, ASYRAF NASIR berkata masing-masing memberikan aura bertenaga.

Kita saling menjaga tenaga masing-masing. Sebab satu hari padat dengan penggambatan dari awal pagi hingga malam. Saya rasa yang paling memberangsangkan adalah bila kita ada Diva AA datang ke set sebagai penampilan istimewa.

“Sememangnya tuan punya badan bagi tagline ‘SEE MY LEVEL’ pun berada di set, memang tidak mengecewakan. Aura dia sangat kuat dan sangatlah memukau. Bagi saya dan Kowachee ini satu pengalaman baru sebab kita nak kena samakan tenaga dengan dia,” katanya.

Asyraf Nasir dan Kowachee

Sementara itu, Kowachee mengakui teruja dan paling menantikan lagu SEE MY LEVEL itu kerana dapat bekerjasama dengan ASYRAF NASIR selain belajar menulis ‘verse’ tersendiri.

“Sesi proses rakaman agak santai. Kami berkomunikasi bersama untuk membina idea. Saya juga dapat belajar sambil menulis lirik sendiri. Semasa proses rakaman lagu, ini pertama kali saya masuk studio. Sebelumnya, saya ada sesi berborak dengan penerbit dan ASYRAF NASIR.

“Macam rakaman video muzik pula, alhamdulilah tidak ada pengalaman yang sukar. Semua berjalan dengan lancar. Kru dan pasukan produksi pun sangat menepati waktu. Saya juga dapat jumpa Diva AA dan dia seorang yang sangat baik dan lawak. Apa yang penting kami semua seronok dapat bekerjasama,” katanya.

Menurut Kowachee, dia berterima kasih dan gembira dapat bekerjasama dengan semua pasukan yang dianggap profesional.

“Bekerja dengan orang yang sangat kreatif dan menyeronokkan dalam video muzik adalah pengalaman yang menarik dan tidak boleh dilupakan. ASYRAF NASIR seorang yang sangat berkarisma dan ada aura yang gembira, jadi bila bekerja dengan dia proses menjadi seronok.

“Cuma, cabaran saya untuk penggambaran video muzik ini adalah memandangkan saya masih bersekolah, jadi kena asingkan masa sekolah dan ASYRAF NASIR pun ada projek dia sendiri tetapi kerja berpasukan yang ada membuatkan semunya menjadi nyata dan mudah.

“Apa pun, saya berharap peminat suka, menonton dan mendengar berulang kali lagu SEE MY LEVEL ini. Saya juga berharap dapat banyak maklum balas positif jadi saya boleh menambahbaik untuk lagu lain,” katanya.

Single SEE MY LEVEL boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak Mac lalu, video muzik lagu SEE MY LEVEL ini juga telah berada di saluran YouTube Defjam Malaysia.

See My Level (Official Music Video)