March 2, 2024

KUALA LUMPUR – Empat dekad menemani pagi anda seluruh rakyat Malaysia dengan pengisian program penuh informasi, tahun ini satu-satunya program temubual yang masih setia bersiaran sehingga kini, Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ‘turun padang’ memulakan misi jelajah menjengah ke lokasi berbeza seluruh negara.  

Meraikan ulang tahun ke-40, program mula diterbitkan pada tahun 1984 sehingga kini sememangnya mempunyai pengikutnya sendiri yang sentiasa memberi sokongan padu sekaligus boleh dianggap sebagai salah satu faktor kejayaan SPM.

Antara faktor menyumbang kepada kejayaan program ini bertahan lama disebabkan ia memaparkan aktiviti menarik rakyat Malaysia dari hari ke hari sepanjang tahun juga keunikan dan kepelbagaian aktiviti seni dan budaya negara kita secara konsisten.

SPM turut meneruskan kejayaan menggilap legasi-legasi penerbit, dan pengacara yang pernah berada dalam SPM sehinggalah ke hari ini. Bukan itu sahaja, SPM akan juga memperkukuhkan segmen-segmen yang menarik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Bermula Februari 2024, aktiviti ‘turun padang’ mendekati masyarakat diadakan pada 3 dan 4 Februari ini. SPM bersiaran di lokasi luar pertama yang dipilih iaitu di Dataran Sayangi Kuantan / Padang MBK sempena Karnival Rakyat Pahang. 

Seterusnya khas sempena Hari Radio Sedunia, SPM pada 13 Februari depan bakal bersiaran di Taman Negara, Tanjung Piai, Johor. Diikuti pada 22 dan 23 Februari nanti, SPM disiarkan dari lokasi Kompleks Karftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dalam meraikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan bertujuan menyuntik kesedaran dan kecintaan masyarakat serta menambah pengetahuan terhadap produk kraf.

Lokasi terakhir pada bulan Februari ini SPM akan berada di Stadium Tertutup Kuala Selangor, dua hari berturut-turut iaitu pada 24 dan 25 Februari depan bersempena siri program Jelajah Madani untuk tahun ini di Selangor. 

Pastikan anda tidak melepaskan peluang bertemu dengan pengacara SPM termasuklah Zaleha Khairene, Raja Suefia Raja Ishak, Munawar Azmie, Ridwan Mustafa, Syafiqah Ishak, dan Syuhaida Ariffin di lokasi pilihan. 

Siaran langsung SPM menemani pagi anda setiap hari, pukul 8.00 hingga 10.00 pagi di TV1. Saksikan juga secara langsung menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).