April 22, 2024

KUALA LUMPUR : Lapan tahun bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum. Terakhir, pada tahun 2014 kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert di kota Kuala Lumpur. Kemudian dengan konsert yang meninggalkan 1001 kenangan itu, turut berbekas kerinduan terhadap lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka itu.

Untuk tahun ini, Shiraz Projects Sdn Bhd memikul tanggungjawab melunaskan kerinduan tersebut dengan membawakan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah pada 31 Julai 2022 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bakal bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan Dato’ M.Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Menurut Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat akhirnya bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu-lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari. Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan untaian lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk para pendengar.

“Mengapa konsert ini diberi judul Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah? Para peminat setia pasti tahu namun untuk sebuah kepastian dan ‘surprise’ yang lebih menyenangkan, penonton wajib datang ke konsert ini kelak,” tambah Shiraz memberikan ‘hint’ tentang sesuatu yang bakal terjadi di konsert itu kelak.

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) akan mula dijual pada jam 2 petang, 10 Jun 2022. Peminat-peminat Kembara juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia.

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akan mendukung konsert ini. Melihatkan sokongan yang diberikan kepada selebriti tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Shiraz malah yakin konsert ini memang ditunggu-tunggu.

Konsert Panorama Jingga 1444 tesebut disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 80an dan akan juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik Kembara dengan akrab lagi dengan persembahan ‘live’ yang bertenaga yang bakal mereka bawakan.

Pastinya peminat Kembara tidak akan melepaskan momen dan lakaran sejarah yang bakal tercipta kelak dengan menandakan tarikh di kalendar untuk konsert yang hebat ini.

Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah merupakan konsert satu malam sahaja yang dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

Pihak Shiraz Projects berterima kasih kepada PENJANA, KKMM dan MyCreative kerana memberi sokongan kerana tanpa sokongan dari mereka adalah sukar untuk melaksanakan konsert dalam skala besar di kala industri baru beransur pulih dari pandemic Covid-19.

Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah bakal menemui peminat pada 31 Julai 2022

1 thought on “Selepas 8 tahun Kembara bakal adakan sebuah konsert

Comments are closed.