December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Memilih nama Torque Six sebagai nama kumpulan muzik bukanlah bererti ‘toksik’ yang diterjemahkan sebagai suatu bahan beracun yang menyebabkan pencemaran tetapi bagi Torque Six, perkataan ‘toksik’ itu menggambarkan muzik yang disebarkan akan menular dengan memberi kesan ke setiap segenap lapisan penggemar muzik.

Berkonsepkan aliran muzik ‘alternatif rock’ Torque six menjadikan kumpulan muzik barat seperti My Chemical Romance, Linkin Park sebagai rujukan muzik mereka dan mereka juga tidak melupakan kumpulan rock tempatan antaranya Wings, Search yang mempengaruhi muzik yang mereka bawakan.

Muzik yang meresap dalam jiwa mereka bagaikan sudah sebati walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi namun semangat mereka tak pernah luntur. Berbekalkan pada semangat dan kesabaran yang tinggi, akhirnya mereka menikmati kemanisan dalam perjuangan apabila berjaya meriliskan sebuah album berjudul ‘Pun Intended’ selepas mengambil masa selama 8 tahun.

“Lapan tahun berdiri di bawah jenama Torque Six bukanlah perkara yang mudah, banyak halangan yang terpaksa ditempuhi apatah lagi kesefahaman antara ahli menjadi faktor utama jenama itu masih ada dalam industri”, ujar Kamal sewaktu ditemui menerusi satu temubual baru-baru ini.

“Sebagai band independent atau indie seperti kami yang tidak mempunyai sumber dana yang cukup, senang kata DIY daripada setiap anggota dengan kreativiti tersendiri, adalah tidak mudah dan memerlukan masa yang sedikit lama oleh kerana masing-masing mempunyai kerjaya dan komitmen tersendiri. Walaubagaimanapun, kini kami sudah mempunyai misi dan visi yang jelas untuk maju ke depan.” Jelasnya lagi.

Selain Kamal, Torque Six yang ditubuhkan pada tahun 2015 dianggotai oleh Akmal, 35, (Vokalis), Sham, 24, (Pemain Gitar), Imran, 30, (Pemain Bass) dan Paqa, 38, (Pemain Drum). Meskipun sudah 3 kali membuat rombakan akibat pertukaran ahli kumpulan, namun bagi Akmal, line up yang sedia ada sekarang ini diharap dapat dikekalkan bersama band yang ditubuhkan bersama Kamal.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2015, pelbagai rencah asam garam di kalangan ahli kumpulan dan pertukaran ahli itu meskipun ianya adalah lumrah bagi sesebuah kumpulan, namun tidak bagi kami yang mana kami berpegang kepada prinsip ‘komited dan komitmen’ yang menjadi acuan untuk Torque Six agar terus bergerak ke hadapan”, jelasnya.

Menghidangkan sebanyak 8 buah lagu berbahasa Melayu dan 2 buah lagu berbahasa Inggeris, Torque Six cuba mengadunkan ramuan muziknya agar menjadi sajian istimewa buat peminatnya. Menariknya 99 peratus lagu di dalam album ini dimainkan sendiri oleh mereka dan hanya sebatas minimal mendapat bantuan pemuzik luar.

Bagi Torque Six, mereka begitu gembira apabila dapat menerima reaksi positif daripada pendengar dan peminat berkenaan album tersebut. Adapun kritikan diterima lebih menjurus kepada luahan eksperimental dan kreativiti baik dari segi mainan instrumen, vokal mahupun gubahan lirik. 

“Hasil dari inputroom for improvement’ serta kata-kata semangat ini, InsyaAllah akan diambil sebagai satu ‘pushing factor’ dalam pembikinan material yang akan datang.

“Alhamdulillah, secara umumnya, komen-komen diterima adalah positif dan mendukung terutama dari segi komposisi. Kami berharap agar muzik kami menular dan diterima oleh para semua pendengar InsyaAllah. Kami juga ingin step up dari zon selesa dan reach out kepada pendengar-pendengar baharu.” Ujar Akmal lagi.

Meskipun mereka melabelkan band mereka sebagai indie, tetapi tidak di mata mereka yang memerhatikan perjuangan Torque Six apabila dapat diberi peluang untuk beraksi sebagai ‘opening band’ sewaktu Wings mengadakan persembahan di World Trade Centre (WTC) yang berlangsung pada 26 Ogos lalu.

“Ianya seolah-olah ‘dream come true’ apabila nama Torque Six tercatit dan diberi sepenuh kepercayaan oleh pihak penganjur KLBS’23 sebagai band opening act untuk konsert kumpulan Wings.

“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk band indie seperti kami mengetengahkan muzik tersendiri ke khalayak yang datang pada malam tersebut. Kami memang betul-betul rasa bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rezeki-Nya,” kata Akmal.

Sebanyak 5 buah lagu dipersembahkan pada malam tersebut, Torque Six juga bersedia menerima apa sahaja kritikan kerana muzik yang dipersembahkan berbeza dari segi genre dan mungkin tidak selari dengan penonton yang majoritinya adalah peminat tegar kumpulan Wings. Namun sangkaan mereka tidak tepat apabila mereka menerima komen yang amat positif dari penonton yang menyaksikan persembahan mereka.

Menurut Kamal, dia begitu teruja apabila Dato’ Awie memberi kata-kata semangat kepada Torque Six sebelum mereka memulakan persembahan sebagai band opening act

“Saya begitu gembira sekali apabila Dato’ Awie memberi kata-kata semangat dan dia menyuruh kami anggap konsert ini seperti konsert kami sendiri,” kata Kamal penuh keterujaan.

“Kami telah sematkan dalam kepala kami sebelum mula persembahan dengan objektif untuk beri yang terbaik. Tidak semua boleh kami puaskan seratus peratus dalam apa jua situasi sekalipun. Kami sebagai pemuzik bersikap profesional dan ambil segala kritikan secara sudut pandang positif untuk menjadi pemangkin supaya dapat memberikan yang lebih baik daripada sekarang. Secara tak langsung, Torque Six sudah mula dikenali di platform arus perdana.” Katanya lagi.

Album ‘Pun Intended’ boleh distrim secara digital melalui platform strim popular seperti Spotify, Apple Music, Deezer, YouTube dan lain-lain. Peminat Torque Six juga boleh mendapatkan rilisan fizikal (booklet) melalui Shopee dengan pautan boleh didapati di semua media sosial mereka dan juga boleh DM secara terus di media sosial Torque Six untuk pembelian.

Torque Six – Liabiliti (Official Lyric Video)