December 5, 2024

KUALA LUMPUR – Dalam pada menghitung hari untuk melancarkan lagu baharu berjudul Look At This tidak lama lagi, kumpulan Dolla kini rancak memuat naik foto-foto dan ‘teaser’ konsep menjelang hari pelancarannya. Mana tidak, lagu itu menjadi karya terbaharu sempena ‘comeback’ mereka.

Justeru, kumpulan dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel, dan Tabby itu mengambil pendekatan terbabit bagi menghangatkan penantian peminat. Pastinya, ia juga jadi peringatan buat semua untuk terus mengikuti karier mereka terutama muzik baharu yang bakal dikongsi dalam masa tedekat.

Sebagaimana dilakukan artis K-Pop setiap kali menjelang ‘comeback’, kumpulan ini turut menggunakan pendekatan sama. Hantaran foto bersiri dimuat naik secara berkala dengan info grafik dalam bentuk kolaj yang menampilkan imej serta konsep terbaru dipilih untuk mereka ketengahkan.

Dolla menghitung hari dengan memuat naik foto-foto dan teaser sempena pelancaran lagu baharunya nanti

Pengurus promosi dan pemasaran Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, pendekatan itu tentu sekali tarikan yang cukup penting. Apalagi pengikut Dolla sememangnya ramai daripada kalangan peminat muzik K-Pop, mereka tentunya teruja melihat kumpulan itu pamer kesungguhan kongsi projek terbaru.

“Kalau kita tengok trend artis K-Pop, mereka akan menggunakan pendekatan berkongsi ‘teaser’ secara berkala setiap kali melakukan ‘comeback’. Jadi, untuk Dolla pun kami buat pendekatan sama kerana kami yakin peminat mereka memang sukakan konsep yang lebih interaktif sebegitu.

“Foto dan info grafik yang dimuat naik pun dihasilkan khas kerana setiap projek termasuk lagu baharu mereka akan datang itu ada nilai istimewa tersendiri. Oleh itu, Dolla ingin berkongsi rasa istimewa itu kepada peminat terutama atas sokongan berterusan mereka sepanjang perjalanan mereka sejak awal dulu,” katanya.

Kali terakhir Dolla melancarkan lagu adalah pada 2 Disember lalu menerusi lagu Sudi hasil kerjasama dengan Yonnyboii. Tahun lalu khasnya, kumpulan ini cukup rancak melancarkan beberapa lagu selain menjayakan pelbagai tawaran persembahan besar. Kemudian, mereka tumpukan pula kepada penghasilan lagu Look At This sebagai projek ‘comeback’.

Pada hujung Januari lalu, Dolla turut melakar pencapaian membanggakan apabila menjadi satu-satunya artis tempatan beraksi di acara muzikal besar iaitu Seen Festival in Kuala Lumpur 2023. Mereka berkongsi pentas dengan penghibur K-Pop terkemuka termasuk NCT Dream, WayV, KARD, dan Alice.