Oleh: Zizi Hashim
Seluruh ruang Axiata Arena Kuala Lumpur dipenuhi 10,000 para Graduan lengkap berpakaian jubah graduasi, uniform sekolah, uniform sukan dan seangkatan dengannya pada tanggal 1 Jun 2024 di Malam Graduasi yang diraikan bersempena Konsert Ada Apa Dengan Melly and Friends. Kesemua Mahasiswa dan Mahasiswi yang hadir telah cemerlang lulus menerima ‘ijazah’ graduasi tahun ini, menurut Pengetua Melly Goeslaw pada malam yang berbahagia itu.
Jam menunjukkan tepat 9 malam ketika figura tersohor Melly Goeslow membuka tirai persembahan dengan lagu upbeat tempo “Tak Tahan Lagi”. Disambut sorak-teriak dan tepukan gemuruh, Melly tampil begemerlapan dalam busana aneh signatur-nya. Fanatika Melly kelihatan begitu antusias untuk sama-sama larut dalam alunan muzikal lagu-lagu ciptaan komposer hebat itu.
Sebuah lagi lagu rancak “Ingin Mencintai Dan Dicintai” menerjah, di ikuti “Pecinta Wanita” dan “Berdua Lebih Baik” sebelum masuk nada perlahan melalui medley lagu “Suara Hati Seorang Kekasih” dan “Sampai Menutup Mata” bermain dengan emosi penonton. Oleh kerana setiap lagu sudah tidak asing lagi, Melly cuma perlu menyanyi sedikit sahaja kemudian disambut selanjutnya oleh para graduan tanda mereka hafal dengan semua lirik lagu. Masing-masing takut dirotan pengetua lagaknya. Kagum dan terharu, Melly mengajak semuanya terbuai nuansa balada sentimental lewat lagu “Bimbang”, “Denting” dan “Ayat-Ayat Cinta” yang berkumandang.
Harus diakui konsert anjuran AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment cemerlang memuaskan hati ‘siswazah’ yang hadir di bawah pimpinan orang kuat Anto Hoed dengan balutan muzik orkestra mewah Malaysia Group Orchestra yang kedengaran begitu indah dan gah. Malam yang semakin bernyawa, dihangatkan lagi dengan kemunculan Melly dalam busana rona keemasan ala-ala Bjork.
Lanjut lagi dengan lagu popular ciptaannya “Gantung”, “Jangan Pernah Berubah” dan “My Heart”, seluruh Axiata Arena KL sepakat menghayun tangan ke udara, mengikut melodi lagu dan sing-along. Pesta malam graduasi diteruskan dengan kemunculan istimewa Joe Flizzow berduet lagu “Jika” bersama Melly. Elemen Hip-Hop telah menaik-taraf lagu tersebut menciptakan kemeriahan dansa dan tari di sana sini. Tata-cahaya gemilang dan grafik visual memukau melengkapkan lagi nuansa magis pada malam bersejarah itu.
Suasana syahdu dan sentimental jiwa diteruskan apabila lagu “Cinta” didendangkan berduet dengan seorang lagi penampilan khas yang menjadi kebanggaan Melly iaitu Putri Ariani. Semuanya terpukau dan hanyut dalam keasyikan mersik paduan suara kedua-duanya. Memberi izin Putri Ariani mengalunkan lagu ciptaannya, “Cinta Sejati” dan “Kamu Dan Kenangan” berkumandang. Meremang bulu roma!
Bertukar mood yang lebih rancak sebelum malam berakhir, Melly menukar busana sekali lagi agar lebih selesa untuk turut sama berdansa. Malam dihiasi lagu “Hanya Memuji”, “Let’s Dance Together”, “Bagaikan Langit” dan “Ku Bahagia” yang dipilih sebagai outro yang bijak. Terbit senyum gembira dan puas dari semua. Lagu-lagu hits terus menyala terang bagaikan tidak mahu berhenti.
Sehinggakan teriakan “We Want More” dipenuhi dengan senang hati, Melly belanja sebuah lagi lagu “Mungkin” yang memberi gambaran kemungkinan besar akan bertemu lagi tahun hadapan pada sebuah malam ‘Prom Night’ yang direncanakan bakal berlangsung tanggal 31 Mei 2025 nanti.
Kepuasan maksima tak tergambarkan pada sebuah persembahan mega extravaganza yang meninggalkan semua dengan curahan bola-bola kecil dan besar sebagai ‘hadiah’ pada kecemerlangan konvokesyen malam itu. Aura seorang Melly Goeslaw tidak dapat dinafikan lagi apabila berjaya membuatkan seluruh ‘siswazah’ patuh pada arahan berpakaian mengikut tema, bukanlah calang-calang. Satu malam takkan terlupakan, pastinya dinanti episod seterusnya pada malam ‘Prom Night’ bagi merayakan kejayaan gemilang ini.