KUALA LUMPUR, 18 OKTOBER 2021 – Muzik nasyid pada era 1990-an mencetuskan fenomena yang luar biasa sehingga irama yang membawakan lagu-lagu ketuhanan ini berlegar di pelusuk dunia. Buktinya kejayaan yang dikecapi oleh kumpulan Raihan yang membawa genre ini hingga mendapat perhatian Ratu Elizabeth II.
Namun, seiring peredaran zaman dan evolusi muzik, perlahan-lahan irama nasyid seakan terpinggir. Biarpun ada antara penggiat nasyid ‘senior’ masih aktif dan kumpulan nasyid pelapis muncul, ia belum mampu mengatasi magis yang dicipta dahulu.
AMAR atau nama sebenarnya Arif Muazzim Abdul Rahman, antara artis senior yang masih bergerak aktif memperjuangkan irama tersebut. Kini AMAR tampil dengan single lagu baharu berjudul Atas Sejadah Cinta yang merupakan hasil ciptaan beliau sendiri.
AMAR yang pernah popular dengan lagu Nurul Iman berkata, “lagu Atas sejadah Cinta memiliki kekuatannya tersendiri dari segi kualiti susunan muzik, rakaman suara lebih bagus tetapi untuk menyaingi Nurul Iman agak sukar kerana lagu itu sememangnya telah terpahat di hati pendengar”.
“Lagu ini bernada ‘full range’. Maksudnya ada bahagian melodi bernada rendah dan banyak lenggok. Ada juga bahagian melodi bernada teramat tinggi serta memerlukan nafas yang panjang. Semua ini memerlukan nyanyian dan rakaman yang amat teliti.” Katanya.
Bagi penulis lirik Atas Sejadah Cinta ini, Ramzul Ikbar Saiful Aula, penghasilan lirik lagu ini mengambil masa baginya untuk mencari bait-bait kata sebelum diterjemahkan mengikut kesuaian melodi.
“Setiap perkataan di dalam lirik lagu ini disusun dengan amat teliti bersama dengan melodi, vokal dan muzik agar lagu ini memberi kesan yang mendalam kepada pendengar.
“Lagu ini berkisarkan taubat dan penyesalan seorang hamba yang dahulunya lalai dengan tanggungjawab serta lupa kepada suruhan Allah S.W.T. Dalam lagu ini saya selitkan sebuah doa penting iaitu doa Nabi Adam Alaihissalam yang dirakam Allah di dalam Al-Quran. Ianya merupakan doa terbaik bagi seseorang yang ingin memohon keampunan daripada Allah S.W.T.” Jelas Ramzul.
Proses rakaman lagu Atas Sejadah Cinta ini, mengambil masa lebih kurang sebulan. Menurut AMAR, beliau sengaja memperlahankan proses untuk menyiapkan lagu ini kerana beliau mahu memastikan lagu ini betul-betul berkualiti dan menusuk kalbu.
“Sebenarnya saya mampu siapkan keseluruhan proses pembikinan lagu ini selama seminggu sahaja, tetapi disebabkan saya mahu lagu ini betul-betul berkualiti termasuk pembikinan lirik, melodi, rakaman, muzik, mixing dan mastering menyebabkan penghasilan lagu ini memakan masa lebih kurang sebulan.” Ujar AMAR.
Keterlibatan dalam menghasilkan lagu ini tidak ramai. AMAR hanya menjemput OJA bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) sebagai pemain gitar dalam lagu tersebut.

Pembikinan Video Muzik (MV) telah tertangguh hampir 3 bulan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) namun setelah kerajaan mengumumkan peralihan fasa ke-3, penggambaran video muzik ini dapat dijalankan.
Penggambaran video muzik dapat disiapkan dalam masa satu hari di sekitar Putrajaya yang mana MV ini diarahkan oleh Subky Hj. Bebit.
Menurut subky, “Proses penggambaran video muzik ini begitu mudah dengan komitmen yang diberikan oleh pelakon yang membawa watak-watak dalam penceritaan lagu ini. Saya yakin watak yang dipegang oleh pelakon cilik, Adik Muhammad Uthman Al-arifi yang pertama kali berlakon akan memberi kesan kepada mereka yang akan menontonnya.”Ujarnya.
AMAR yang juga seorang ahli silap mata, sebelum ini pernah menghasilkan lagu berbentuk zikir yang berjudul Tidurlah Hai Anak yang telah mencapai jumlah tontonan sebanyak 25 juta di saluran YouTube tidak pernah merasa jemu untuk menghasilkan lagu-lagu yang mengajak pendengar ke arah kebaikan.
“Pada saya nasyid ini satu medium untuk ketengahkan karya-karya yang bersifat sosial kritik. Dalam 50 lebih karya saya, ada cerita tentang memudahkan perkahwinan dan saya kritik orang yang menyusahkan perkahwinan, mengenai hutang, mengenai bahaya ajaran Syiah dan sebagainya. Kita bukan sahaja buat lagu untuk mengajak ke arah kebaikan tetapi mencegah kemungkaran”. Jelasnya lagi.
AMAR berharap agar single lagu ini dapat diterima oleh pendengar tanpa mengira usia dan demografik serta tidak terhad kepada peminat nasyid sahaja.Beliau tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi menjadikan lagu ini ‘meletup’ kerana bagi beliau ia hanya bersifat ‘hype’ dan sementara sahaja seterusnya lagu tersebut akan dilupakan.
“Harapan saya supaya lagu ini akan menjadi lagu yang “evergreen” supaya pahalanya menjadi amal jariah walaupun sesudah saya tiada. Biar setiap masa ada orang mendengar lagu ini walaupun sedikit, yang paling penting ianya konsisten.” Katanya.
Video muzik Atas Sejadah Cinta akan dilancarkan secara eksklusif pada 18 Oktober 2021 tepat jam 9 malam hanya di saluran YouTube AMAR Music. Manakala single lagu tersebut boleh dinikmati melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer selepas pelancaran video muzik.