KUALA LUMPUR – Sejak perang tercetus 9 tahun lalu, banyak kesulitan yang telah dialami oleh penduduk di Yaman. Mereka hidup dalam serba kekurangan. Kekurangan keperluan harian, kekurangan makanan, kekurangan zat, kekurangan kasih sayang, kekurangan dalam aspek kesihatan dan termasuklah kekurangan dalam pendidikan.
Justeru, Serantau Muslim berusaha untuk membantu mereka melengkapkan keperluan dalam aspek pendidikan.
Pada misi kemanusiaan Untukmu Yaman baru-baru ini, Serantau Muslim telah merancang dan melaksanakan S.M.i.L.E. Project semasa berada di Yaman. Projek ini menjurus kepada bantuan kelengkapan sekolah.
S.M.i.L.E. adalah singkatan kepada Serantau Muslim international Learning Enhancement.
Menurut Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim, pihaknya memberikan fokus untuk membantu anak-anak Yaman dengan menyediakan kelengkapan sekolah.
“Kami tak bina sekolah, tapi kami komited naik taraf sekolah sedia ada. Ini adalah fokus Serantau Muslim.
“Kita melihat, sudah sampai masanya untuk melebarkan sayap kerjasama antara NGO , kerajaan tempatan dan masyarakat dalam melengkapkan fasiliti yang sedia ada”. Katanya.
Menurut Ustaz Mohd Hakim lagi, beliau mengambil inspirasi dari model perlaksanaan Hotel OYO yang menambah baik pengurusan hotel sedia ada, Serantau Muslim bercadang menjadi peneraju dalam usaha menambah baik pengurusan sekolah sedia ada di seluruh dunia dan dimulakan di Yaman.
Dalam Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman, Serantau Muslim telah menaja fasiliti persekolahan di sebuah sekolah di dalam kem pelarian Yaman di Marib.
Pemerhatian awal pasukan Serantau Muslim di sana ialah keadaan sekolah di sana berada dalam serba kekurangan.
Anak-anak hanya belajar beralaskan karpet lusuh dan berdebu serta tiada kipas yang mencukupi.
“Bayangkan keadaan yang cukup menyempitkan dada apabila Di dalam kem yang menempatkan 20,000 buah keluarga itu hanya terdapat dua sekolah sahaja, dan keadaan sekolah yang dibina itu pula hanya dari khemah yang tersangat daif. Kemudahan asas yang sesuai untuk aktiviti pembelajaran amatlah menyedihkan.
“Selain bilangan pelajar yang boleh belajar di sekolah itu yang terhad, mereka juga belajar dalam keadaan yang tidak selesa. Mereka belajar di lantai beralaskan karpet usang dan kebanyakan masa di atas tanah yang berdebu, serta tidak mempunyai kelengkapan pembelajaran yang baik”. Ujarnya lagi.
Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor dan ahli misi yang lain mendapati banyak keperluan pembelajaran tiada lengkap di sana.
“Semasa berada di sana (Yaman), saya dapati sangat kurang kemudahan khusus untuk pendidikan di sana.
“Memahami keadaan mereka yang terpaksa mengharungi kesukaran untuk mendapat tempat pembelajaran yang selesa dalam tempoh peperangan seperti ini, keberadaan pasukan Serantau Muslim bersama-sama semua sekarelawan hadir di Yaman boleh dianggap tepat pada waktunya. Disaat mereka sangat memerlukan penambahbaikan infrastruktur sekolah, Serantau Muslim hadir membantu mereka dengan mewujudkan tempat persekolahan ala caravan school.
“S.M.i.L.E juga secara tak langsung berfungsi sebagai salah satu pusat terapi minda dan sokongan psikologi untuk keperluan mental anak-anak Yaman.
“Alhamdulillah setelah pemerhatian dan perancangan yang jelas, Serantau Muslim telah membekalkan keperluan mustahak yang diperlukan oleh sekolah berkenaan.
“Selain dari caravan baru, Mereka turut dibekalkan dengan kerusi, meja, kipas, tong sampah, khemah canvas, almari dan papan putih serta bahan untuk menulis untuk mereka rasa lebih selesa belajar berbanding sebelumnya.” Jelasnya.
Dalam pada itu, difahamkan bahawa Kem Suwaidah memiliki beberapa khemah sahaja untuk dijadikan sekolah bagi membantu anak-anak di sana menimba ilmu.
Menurut Ustaz Mohd Hakim lagi, semasa ahli misi ke kawasan tersebut, anak-anak Yaman sedang bercuti namun disebabkan semangat untuk menuntut ilmu yang sangat tinggi, mereka tetap hadir ke sekolah apabila mengetahui rombongan Serantau Muslim melawat ke sekolah terbabit.
“Ketika kami ke sekolah itu, sesi pembelajaran sedang cuti , ditambah dengan cuaca yang sangat panas mencecah 45 celcius, tetapi anak-anak pelarian ini tetap bersemangat. Mereka teruja hadir ke sekolah walau terpaksa berjalan kaki berkilometer, sebak rasanya.
“Jadi, dengan adanya serba sedikit kelengkapan tersebut, pembelajaran dapat berjalan dengan lebih baik dan lebih selesa di kem tersebut”. Katanya.
Serantau Muslim percaya, Melalui ilmu, masyarakat di Yaman akan lebih terbina dan bangkit semula dari kacau bilau peperangan.
“Insha-Allah dengan ilmu yang bermanfaat yang diperoleh mereka, mereka dapat membina semula negara mereka di masa akan datang”.
Dalam pada itu, Serantau Muslim ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada rakyat Malaysia yang telah menyumbang melalui untukmuyaman.com sekali gus membantu keperluan anak-anak dan penduduk di Yaman.
Teruskan menyumbang kerana masih ramai memerlukan sumbangan dari kita untuk mereka teruskan kehidupan mereka dengan lebih baik dan kepada yang belum mampu menyumbang, teruskan mendoakan kebahagiaan dan keselamatan mereka di sana.
“Mereka dahagakan ilmu, mereka dambakan perhatian kita. Tak mampu sumbang, titipkan doa buat mereka. Serantau Muslim percaya ilmu adalah jambatan sebuah kejayaan dan sebuah entiti kepada perubahan.
“Dengan adanya usaha menaik taraf pendidikan di sini, Insya Allah dapat bantu anak-anak Yaman untuk lebih maju dan berdaya saing Insha-Allah.
“Buat makluman, Serantau Muslim telah melantik seorang kakitangan dari tenaga tempatan yang berperanan sebagai tenaga pengajar di kabin yang dibina.
“Alhamdulillah, setelah melakukan temuduga beberapa calon, kami telah melantik dari kalangan ibu tunggal pelarian Yaman sebagai tenaga pengajar dan penggerak S.M.i.L.E”. Katanya mengakhiri bicara.
Teruskan menyokong usaha ini, untukmuyaman.com.