SHAH ALAM, 19 Mac 2025 – Penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Oohaa Raya. Kali ini, beliau memilih untuk berkolaborasi bersama anak perempuannya, Athalia, menjadikan lagu ini sebagai lagu raya duet ibu dan anak yang pertama dalam industri muzik tanah air.
Diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment, Oohaa Raya merupakan hasil ciptaan komposer Eugene Lai dan Ja’a, manakala liriknya ditulis oleh Ja’a, Eugene Lai, Sharifah Zarina dan Athalia sendiri. Lagu ini membawa kisah kehidupan realiti mereka anak-beranak, terutama dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Inspirasi dan Proses Pembikinan
Menurut Sharifah Zarina, idea untuk berduet dengan Athalia datang daripada komposer Eugene Lai. “Saya rasa ia satu idea yang bagus kerana belum ada lagu raya yang menampilkan ibu dan anak sebagai penyanyi. Proses rakaman bersama Athalia sangat berbeza kerana saya secara tidak langsung terbawa dengan sikap seorang ibu yang ingin menegur dan mengajar anaknya,” katanya.

Menariknya, selain muzik video rasmi, sebanyak enam episod siri web khas untuk lagu ini turut dimuat naik di akaun TikTok mereka, iaitu Sharifah Zarina dan Athalia.
Gabungan Tradisional dan Moden
Komposer Eugene Lai pada awalnya bercadang untuk mencipta lagu raya berirama keroncong dengan tempo perlahan. Namun, selepas perbincangan, Oohaa Raya diolah semula dengan elemen reggae yang lebih rancak, memberikan gabungan unik antara muzik tradisional dan moden.
“Sharifah Zarina dan Athalia turut menukar beberapa bahagian lirik serta menambah melodi baru bagi mencerminkan personaliti mereka dalam lagu ini,” kata Eugene. Manakala Ja’a turut mengakui bahawa hasil akhir lagu ini melebihi jangkaannya dan mencipta satu karya yang unik dalam genre lagu raya.

Simbolik Perkataan ‘Oohaa’
Perkataan Oohaa dalam tajuk lagu ini diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud ‘Hello’ atau ‘Hai’. Sebagai anak kelahiran Sarawak, Sharifah Zarina mahu menyelitkan elemen budaya negeri kelahirannya ke dalam lagu ini.
“Lirik lagu ini mencerminkan kehidupan sebenar saya bersama anak-anak. Jika anda mengikuti akaun TikTok saya, pasti anda tahu kisah kami sering mendapat tontonan tinggi,” tambahnya.

Athalia Teruja dengan Projek Duet
Athalia pula menyatakan keterujaannya kerana dapat berduet dengan ibunya, apatah lagi melihat sambutan baik terhadap kandungan mereka di media sosial. “Ia satu pengalaman berharga kerana kami dapat belajar dari satu sama lain, walaupun kadangkala ada perbezaan pendapat. Namun, kami sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Pelancaran Rasmi
Lagu Oohaa Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac lalu dan boleh didengari di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Muzik video rasmi lagu ini turut tersedia di saluran YouTube Faithful Music.