Showcase Amal Artis Legenda 4.0 penganjuran terakhir buat Nizam Laksamana 

KUALA LUMPUR – “Rasanya cukuplah sampai di sini sahaja,” itu antara luahan penyanyi Nizam Laksamana yang telah menganjurkan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 malam tadi, bertempat di Hotel Grand Barakah, Ampang. Meskipun penganjuran ini bukan mudah baginya tetapi akhirnya dapat dilaksanakan dengan sempurna, biarpun pada awalnya hampir membatalkan niat penganjuran berikutan sukar mendapat sokongan tajaan daripada pelbagai pihak serta semangat yang pudar. 

Menurut Nizam, untuk penganjuran sesebuah showcase beliau memerlukan dana kewangan yang mencukupi bukan setakat mengharapkan dengan jualan meja sahaja. Meskipun ini kali ke-4 beliau menganjurkan showcase ini, beliau juga kurang berkeyakinan untuk meneruskan penganjuran showcase ini di masa hadapan dengan konsep dan cara yang sama.

“Rasanya dah banyak sangat, sudah empat kali, empat kali dengan konsep yang sama, cara yang sama tetapi yang peliknya selama penganjuran sebanyak empat kali ini pun penuh juga, macam boleh buat lagi tapi rasanya cukuplah kita stop di sini, mungkin jika buat pun bukan dengan cara yang begini.

“Untuk menjayakan showcase ini sangat berat dan untuk melaksanakan sangatlah susah, jadi kita rehatlah, stop dan bagi orang lain buat. Orang lain tengok kita buat selama ini macam mudah cuba mereka buat pula tanpa dibantu seperti mana kita dah buat.” Ujarnya.

Nizam juga melahirkan rasa gembira dan syukur kerana niat murninya dipermudahkan Allah SWT dengan tema #darikawanuntukkawan. Selain itu penganjurannya kali ini dengan Persatuan Cancer Survivors Malaysia memberikan satu momen paling bermakna kerana hasrat untuk membantu dan menyokong penggiat seni, pengamal media serta bekas pesakit kanser menjadi kenyataan.

Menurutnya, biarpun nilai sumbangan yang disalurkan tidaklah besar untuk dibanggakan tetapi pengorbanan dan sumbangan barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam tersebut cukup menyentuh hati. Ini kerana ada sebahagian artis tidak mengambil bayaran atau sebahagian bayaran disumbangkan semula untuk menjayakan showcase yang sudah masuk ke edisi terakhir itu. 

“Harap showcase ini akan buka mata pada rakan-rakan dan penganjur lain yang mampu buat dan membantu. Jika ada anak seni muda yang lebih berkemampuan dapat meneruskan usaha murni bagi membantu rakan-rakan artis senior itu adalah lebih baik. Tiada yang lama maka tiada yang baru. Roda kehidupan itu ironinya berputar. Kejayaan diukur dengan mengingati bukan memerhati,” katanya terus terang.

Showcase yang dianjurkan oleh Nizam Laksamana Production telah membariskan artis-artis terkenal seperti Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, Dwen, Ady WOW, Wann, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Shafie RIO, Zamani SLAM dan juga Nizam Laksamana.

Acara tersebut dimulakan pada pukul 8 malam dan tetamu dihiburkan dengan barisan lagu hit dan malar segar artis terlibat. Dewan turut bergema dengan nyanyian bersama 700 orang tetamu bagi setiap lagu yang disampaikan.

Kata Nizam, asalnya hanya 50 meja disediakan tapi apabila sambutan menggalakkan, pihak Grand Barakah Hotel menaja 20 buah meja, di mana setiap meja akan dipenuhi oleh 10 orang penonton.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah Alhamdulillah kerana penganjuran showcase 4.0 tetap mendapat sambutan hangat seperti mana penganjuran showcase 1.0, 2.0 dan 3.0. Ada peminat dari Singapura dan Brunei yang turut untuk memberi sokongan kepada projek ini.

“Showcase ini bukan semata-mata hiburan saja, sebaliknya adalah tempat perjumpaan antara peminat dengan penyanyi kegemaran mereka. Selepas acara selesai, peminat berpeluang untuk beramah mesra dengan artis yang terlibat. Paling penting penganjuran ini adalah untuk menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser,” katanya.

Satu segmen persembahan yang meruntun hati adalah apabila Nizam menyanyikan lagu secara medley daripada lagu hit penyanyi Almarhum Gimie Screen, Tia Jinbara dan Ibnor Riza. Mereka adalah barisan artis yang pernah terlibat siri persembahan showcase amal sebelum ini dan mempunyai nilai sentimental serta sumbangan tersendiri. Kepulangan mereka ke negeri abadi akibat diuji dengan penyakit kronik dan kanser memberi impak bahawa anak seni perlu dihargai.

Sebelum itu, antara rakan-rakan artis yang telah menerima sumbangan adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan OLAN, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC dan Yazid Sejati. Selain dari artis, bekas wartawan Rosli Manah, Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman juga telah menerima sumbangan. Paparan video sumbangan di awal acara mencetus sebak dikalangan penonton kerana wajah-wajah mereka cukup sinonim menghibur dan memeriahkan industri hiburan tabahair sebelum ini.

Showcase Amal Artis Lagenda juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000.00 kepada pihak Cancer Survivor Malaysia serta RM1,000 kepada pesakit kanser otak (medulloblastoma) iaitu adik Nur Umairah binti Abdul Rahman yang berumur 10 tahun. Tidak ketinggalan juga sumbangan sebanyak RM1,000 daripada pihak persatuan KARYAWAN kepada Cancer Survivor Malaysia, disampaikan melalui presidennya Datuk Freddie Fernandez.