December 8, 2023

KUALA LUMPUR Shiraz Projects dengan bangganya mempersembahkan “Shreya Ghoshal Live In Kuala Lumpur” yang akan menemui para peminat pada 10 Disember 2022 ini di Dewan Plenari, KLCC, bermula pukul 8 malam.

Terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu runut bunyi dan album, penampilan perdana Shreya Goshal pada tahun 2020 telah menambat hati para peminat di Kuala Lumpur. Apatah waktu itu, Shreya berjaya menyanyikan lagu Cindai, nyanyian asal Dato Sri Siti Nurhaliza dengan baiknya.

Shreya Ghoshal, penyanyi terkenal berusia 38 tahun telah merakamkan lagu-lagu untuk runut bunyi dan album dalam pelbagai bahasa India dan menjadikan dirinya sebagai penyanyi playback utama di industri filem India. Sepanjang kerjayanya, beliau telah dicalonkan sebanyak 494 kali dan memenangi 150 anugerah, termasuk empat National Film Awards, empat Kerala State Film Awards, dua Tamil Nadu State Film Awards, tujuh Filmfare Awards (termasuk enam Penyanyi Playback Wanita Terbaik) dan sepuluh Filmfare Awards South.

Shreya Ghoshal membuat kemunculan pertama dalam nyanyian Bollywoodnya melalui filem drama romantik Bhansali, Devdas (2002) yang mana beliau telah menerima National Film Award untuk Penyanyi Playback Wanita Terbaik.

Selain nyanyian playback, beliau muncul sebagai juri di beberapa rancangan realiti televisyen. Penyanyi yang serba boleh ini mempunyai repertoire yang luas merangkumi beberapa genre termasuk pop, klasik, ghazal dan bhajan.

Shreya Goshal akan menemui para peminat di Kuala Lumpur Disember ini

Pada bulan April 2013, beliau mendapat penghormatan di London oleh ahli Dewan Rakyat yang terpilih di United Kingdom. Beliau juga tampil lima kali dalam senarai Forbes dari 100 selebriti terkemuka dari India dan menjadi penyanyi India pertama yang mempunyai patung lilinnya di Muzium Madame Tussauds pada tahun 2017.

Menurut Shirazdeen Karim selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects, selain memberikan hiburan dan konsert dari artis tempatan dan Indonesia, pihaknya memang berhajat untuk membawakan konsert- konsert Bollywood di Kuala Lumpur khususnya.

“Kita tahu bahawa di Malaysia memang ramai para peminat Bollywood. Mereka bukan sahaja meminati filem-filem tetapi juga menghafal setiap lagu yang ditampilkan dalam filem-filem kegemaran mereka. Jadi, Shiraz Projects ingin meraikan momen ini dengan membawakan Shreya Goshal, penyanyi yang memang dikenali dengan suara lemak merdunya dan sering tampil menyanyikan lagu- lagu runut bunyi terkenal Bollywood,” ujar Shiraz.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM1500 (VIP), RM600 (Diamond), RM500 (Platinum), RM300 (Gold) dan RM200 (Silver). Peminat boleh menghubungi talian +603 86050196 atau +601 22560082 untuk pertanyaan tentang tiket.

Tiket-tiket konsert telah mulai dijual melalui www.myticket.asia.

Konsert “Shreya Goshal Live In Kuala Lumpur” merupakan konsert satu malam sahaja dan telah dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.