Siapa yang hendak menilai sesebuah cerita jika orang tak nak tengok?

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2021 –  Isu keputusan stesen TV berasaskan penstriman yang menetapkan syarat pelakon yang ingin muncul dalam saluran itu perlulah mempunyai jumlah pengikut atau ‘followers’ lebih sejuta di Instagram menjadi perdebatan dikalangan penggiat seni.

Bagi pelakon drama Hati Yang Dikhianati Amar Baharin, beliau mempunyai pendapat sendiri berkenaan isu yang sudah lama dibangkitkan ini. Beliau berpendapat isu berkenaan bakat dan jumlah pengikut ‘followers’ perlu berjalan seiring.

“Dua-dua perkara ini perlu jalan seiring. Kita tidak boleh mengharapkan kepada bakat sahaja, sebabnya jika bakat sahaja tapi orang tak nak tengok cerita yang kita lakonkan, dari segi perniagaan perkara ini juga tidak berapa bagus sebab kita buat ini pun untuk TV, filem yang sememangnya itu satu bisnes.” Katanya.

Menurut suami kepada pelakon Amyra Rosli, beliau megikuti tentang perkembangan isu ini tetapi beliau tidak mahu mengulas perkara ini di media sosial miliknya sendiri dan lebih selesa untuk mendiamkan diri sahaja.

“Jika kita letak pelakon paling hebat sekalipun, tetapi tak ada siapa pun yang mahu tonton, bagi saya tak guna juga. Siapa yang hendak menilai sesebuah cerita tersebut jika orang tak nak tengok? Bagi saya perkara ini perlulah seimbang.” Katanya lagi.

Amar juga menekankan jika seseorang pelakon yang mempunyai jumlah jutaan pengikut atau ‘followers’ tetapi tidak mempunyai bakat dalam lakonan, perlulah mengambil inisiatif memasuki kelas lakonan atau pun hanya memegang watak-watak kecil sahaja.

“Bagi saya mereka yang mempunyai ‘follower’ ini adalah satu bonus, tetapi mereka janganlah ambil mudah bila masuk dalam industri” Ujarnya.

Pemegang watak Lisa dalam drama Hati Yang Dikhianati, Isyariana Che Azmi, bersetuju seratus peratus dengan pendapat yang dijelaskan oleh Amar.

“Memang sudah rezeki diorang sekarang ini, semua orang nak tengok jumlah pengikut atau ‘followers’, tetapi kedua-duanya perlulah jalan seiring. kalau sudah tahu berlakon seumpama ‘kayu’ ambillah peluang dari rezeki yang kita dapat ini untuk lebih memperbaiki mutu lakonan kita.” Katanya.

Amar Baharin dan Isyariana

Mereka ditemu bual sewaktu sidang media secara maya dalam mempromosi drama Hati Yang Dikhianati yang telah ditayangkan pada 22 Oktober, setiap Isnin hingga Jumaat, 6 petang di saluran 105 Astro Prima. Drama ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. 

Drama bersiri Hati Yang Dikhianati terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, ‘My Three Sisters’ atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu ‘Mis Tres Hermanas’. Kisah melodrama yang diterajui oleh Ricardo Alamo, Scarlet Ortiz dan Roberto Moll pada ketika itu pernah mencetuskan fenomena luar biasaketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2002.

Drama arahan Bade Haji Azmi ini membariskan pelakon-pelakon hebat antaranya, Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Syamim Farid, Afifah Nasir dan ramai lagi.

Drama bersiri Hati Yang Dikhianati terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd.